SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai matlamat menoktahkan isu miskin tegar di negara ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkata, selepas setahun berjanji akan menyelesaikan perkara itu, kini beliau menggesa institusi zakat menambah baik kualiti perkhidmatan agar mampu menyelesaikan masalah kemiskinan tegar.
"Setahun lalu, Anwar begitu bersemangat untuk menoktahkan isu miskin tegar di negara ini, rakyat menyokong.
"Namun setelah lebih setahun, tiba-tiba hari ini beliau melaungkan institusi zakat perlu memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah asas berkaitan kemiskinan tegar ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan, Anwar menggesa institusi zakat di negeri-negeri supaya menambah baik kualiti perkhidmatan dan tatakelola agar menjadi institusi yang mampu menyelesaikan masalah kemiskinan tegar di negara ini.
Jelasnya, pengumpulan dana zakat yang tinggi patut digunakan untuk menyelesaikan masalah asas rakyat dan bukannya tujuan sampingan.
Menurut Razali, sekiranya janji telah dibuat, maka ia perlu ditunaikan kerana institusi zakat mempunyai peranan dan fungsi berterusan.
"Sudah terbalik misi itu? Soalnya sekarang siapa yang beria-ria hendak menamatkan kemelut isu kemiskinan tegar sebaik menjawat jawatan Perdana Menteri?
"Adakah sudah tidak ada cahaya untuk mengambil ikhtiar membasmi miskin tegar sehingga mula mengalih tumpuan rakyat bahawa institusi zakat pula yang bertanggungjawab menoktahkan miskin tegar," ujarnya.
Selain itu, beliau turut mempersoal kenyataan Anwar yang mengatakan usaha membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sudah mencapai status 100 peratus.
"Apakah benar keadaan itu? Siapa yang sebenarnya hendak dibohongi, rakyat atau ia hanya usaha mengaburi kami? Keadaan negara nampaknya semakin parah dan kalut atas cerita-cerita besar ini serta kisah di sekeliling semak samun," katanya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment