PETALING JAYA: Kerajaan perlu menutup ruang manipulasi terutama di peringkat pemborong jika berhasrat meneruskan rancangan memperkenalkan kategori beras tunggal dikenali Beras Malaysia Madani, kata pakar pertanian.
Cadangan menggantikan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) itu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) esok.
Sabtu lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menjelaskan kerajaan belum memutuskan pengenalan Beras Malaysia Madani berharga RM30 untuk kampit 10kg diumumkan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup.
Muhammad Shakirin Mispan dari Universiti Malaya berkata mekanisme kawalan harga perlu ditetapkan untuk menutup ruang manipulasi kerana dibimbangi akan ada ‘permainan’ dari pasaran antarabangsa menyebabkan pemborong ‘mengelak’ membeli padi daripada petani tempatan.
“Dari segi harga sekarang masih terkesan terutamanya dengan kebergantungan kepada dengan beras import,” katanya kepada FMT.
Beliau berharap mesyuarat Naccol nanti akan membandingkan kos import beras dan penghasilan beras tempatan sebelum pelaksanaan sesuatu dasar tertentu bagi mewujudkan situasi menang-menang buat petani dan pengguna.
“Jika benar dasar kategori tunggal beras ini dilaksanakan, pengusaha padi perlu mengemukakan secara jelas berapa peratus kenaikan pendapatan yang dapat diberikan kepada petani.
“Pada masa sama kenaikan itu juga patut mengurangkan beban subsidi kerajaan kepada petani. Pengusaha sewajarnya menampung subsidi ini sekiranya masih berkeras untuk menaikkan harga beras,” katanya.
Fatimah Mohamed Arshad dari Universiti Putra Malaysia turut berpandangan dasar berkaitan harga perlu diselesaikan terlebih dahulu berbanding memperkenalkan kategori beras tunggal menggantikan SST serta SSI.
“Apabila harga beras import meningkat kepada RM3.50/kg, beras tempatan tiada di kedai kerana kegiatan campuran beras. Ini bermaksud polisi menetapkan harga beras tempatan dan mengapungkan harga beras import yang mendorong berlakunya ‘campuran haram’.
“Maka penyelesaian terletak dalam polisi harga, bukan gred beras,” katanya.
Tambahnya, penggredan penting dalam memastikan kualiti beras terjamin pada masa sama turut menjamin keadilan di kalangan petani supaya mereka tidak tertakluk kepada manipulasi pembeli atau pengilang.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment