KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak perlu melatah apabila Pergerakan Pemuda UMNO menyatakan pendiriannya ekoran keputusan Lembaga Pengampunan berhubung pengurangan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda UMNO, A’zlan Abu Bakar berkata, ketuanya, Dr Akmal Saleh tidak menujukan kepada sesiapa apabila membuat hantaran di media sosial di sebalik keputusan Lembaga Pengampunan itu.
“Saya berasa hairan, seolah-seolah ada yang terasa pedas walhal Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Dr Akmal) dalam hantarannya hanya menulis secara umum tanpa menuju kepada sesiapa.
“Tidak timbul perkara yang menyerang parti komponen Kerajaan Perpaduan atau dalam kata lain, siapa makan cili, dia terasa pedas.
“Saya minta supaya Haziq jangan cepat melatah kalau tak terasa pedas dengan terus menuduh tak tentu hala,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Pada Ahad lalu, media melaporkan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar membidas kenyataan Dr Akmal kerana didakwa boleh mengeruhkan hubungan dengan rakan komponen Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut mencadangkan supaya Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu fokus kepada usaha memberi nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan.
Sebelum ini, Dr Akmal memuat naik hantaran di akaun Facebook miliknya yang menyatakan; “Kita dipermainkan akhirnya. Jangan ingat kami tidak tahu apa yang berlaku, sudah tiba masanya”.
Dalam pada itu, A’zlan berkata, sebaliknya kenyataan Haziq itu dilihat cuba mengeruhkan hubungan Kerajaan Perpaduan.
“Hakikatnya beliau (Haziq) sendiri yang sedang mengeruhkan keadaan ini kerana kenyataannya sendiri membuta-tuli.
“Tidak timbul soal tidak adil, seolah-olah UMNO tidak berusaha mengekalkan keharmonian serta menghormati antara rakan komponen Kerajaan Perpaduan.
“Kalau benar pun dia terasa pedas, saya rasa lebih elok dia bertanya kepada Ketua AMK, Adam Adli apa yang dimaksudkan dalam hantaran Dr Akmal.
“Haziq boleh tanya terus kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada benar sedang mempermainkan UMNO atau tidak,” katanya.
A’zlan mengingatkan Haziq Pergerakan Pemuda UMNO yang dipimpin Dr Akmal pada masa ini mempunyai prinsip jelas dan ikhlas.
“Ia terbukti dalam Konvensyen Pemuda Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 14 Mei 2023. Seterusnya siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan usaha yang digerakkan Dr Akmal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment