NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Akaun dibeku SPRM, AGC bantah permohonan semakan kehakiman Aman Palestin

Aman Palestin sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap SPRM melibatkan tindakan pembekuan 11 akaun banknya, tahun lalu. (Gambar Bernama)



PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa perintah pembekuan akaun dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap akaun bank Aman Palestin tidak boleh dicabar melalui permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, berhujah ia adalah kerana agensi itu mempunyai kuasa budi bicara untuk menjalankan siasatan jenayah.

Hanir berkata, kuasa untuk mengeluarkan perintah pembekuan adalah satu mekanisme siasatan diperuntukkan mengikut undang-undang dan agensi penguatkuasaan diberi kuasa mengeluarkan perintah membekukan harta seseorang apabila memenuhi beberapa syarat.

“Peruntukan berkenaan adalah mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

“Pengeluaran perintah pembekuan hanya dibuat apabila agensi penguatkuasaan memulakan siasatan terhadap seseorang dan ada alasan munasabah untuk mengesyaki beliau melakukan atau akan melakukan kesalahan pembiayaan keganasan, atau harta itu hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang

“Mahkamah berulang kali mengekalkan bahawa fungsi atau kuasa berhubung proses siasatan jenayah tidak boleh dipertikaikan melalui semakan kehakiman,” katanya, menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika berhujah melalui bantahan awal Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan Aman Palestin untuk mencabar tindakan SPRM membekukan 11 akaun banknya.

Bagaimanapun, peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, berhujah pihaknya perlu diberi kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman kerana permohonan itu mempunyai merit.

Beliau berkata, keengganan SPRM membatalkan atau mengubah perintah ‘pembekuan salah’ itu adalah tidak munasabah dan tidak mengikut peruntukan Seksyen 44 (1) Akta AMLATFPUAA.

“Pembekuan akaun bank itu menyebabkan segala kutipan dana bantuan kepada mangsa kekejaman Israel di Gaza, kini terhenti dan tidak dapat dilakukan lagi.

“Ini menjadi lebih genting lagi apabila Program Bantuan Musim Sejuk yang dianggarkan menelan RM10 juta, tidak dapat disalurkan kepada mangsa di Gaza,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Hakim Amarjeet Singh kemudiannya menetapkan pada 21 Mac ini untuk keputusan.

Pada 31 Jan lalu, Aman Palestin memfailkan permohonan itu dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin, dua pegawai SPRM Mohd Afiq Mohammed Hassan dan Muhammad Zuhdi Mohd Yusoff, SPRM dan kerajaan selaku responden pertama hingga ketujuh.

Menerusi permohonan itu, Aman Palestin memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama hingga keenam berhubung perintah pembekuan bertarikh 24 November 2023 terhadap 11 akaun bank miliknya.

Ia turut memohon SPRM mengubah perintah pembekuan supaya wang berjumlah RM11,026,215.60 dinyahbekukan dengan serta-merta bagi tujuan perbelanjaan harian, penggajian pekerja, pentadbiran, operasi dan misi bantuan pemohon bagi tempoh tiga bulan ke hadapan.



Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo