NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

6 pendaki dikhuatiri hilang di Gunung Angsi

Pasukan penyelamat meneruskan pencarian dengan berpecah ke tiga lokasi, iaitu di Ulu Bendul, Kampung Jkin di Kuala Pilah dan Taman Tuanku Ja’afar di Seremban. (Gambar BBP Seri Menanti)

SEREMBAN: Empat wanita dan dua lelaki dikhuatiri sesat ketika mendaki Gunung Angsi, Kuala Pilah semalam.

Komander Operasi Balai Bomba Seri Menanti, Norhirwan Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 7.31 malam tadi mengenai sekumpulan pendaki sesat di gunung berkenaan.

“Maklumat awal mendapati semua mangsa belum pulang ke rumah menyebabkan pengadu memohon bantuan pihak bomba untuk mencari mangsa.

“Bertindak atas maklumat, enam anggota BBP Seri Menanti bergegas ke lokasi kejadian dengan jentera FRT (Fire Rescue Tender) sejurus menerima panggilan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui dua kenderaan di kaki Gunung Angsi disyaki milik mangsa.

Katanya, pasukan bomba tiba di pondok “checkpoint” bagi mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Ketua Zon 3 Negeri Sembilan, Yusry Abdullah Sani ketika dihubungi berkata, semua mangsa berusia 28 hingga 42 tahun itu sudah mendaftar di pondok pejabat hutan.

Menurutnya, semua pendaki dipercayai dari Selangor itu belum mendaftar keluar dari gunung berkenaan dan pasukan penyelamat yang turut dibantu polis telah mencari mangsa hingga ke puncak, namun tidak menemui sebarang jejak mangsa.

Katanya, pencarian diteruskan malam tadi dengan berpecah ke tiga lokasi, iaitu di Ulu Bendul, Kampung Jkin di Kuala Pilah dan Taman Tuanku Ja’afar di Seremban.

Difahamkan, semua mangsa tidak dapat dihubungi melalui talian telefon.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo