KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) menahan seorang wanita warga tempatan bersama 27 lelaki warga Bangladesh di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Jalan Duta, di sini Isnin lalu.
Kesemua warga asing terbabit ditahan selepas gagal menjalani proses verifikasi cap jari bagi pendaftaran Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, wanita itu yang merupakan wakil majikan sebuah syarikat tempatan ditahan pukul 11 pagi.
“Hasil pemeriksaan menggunakan Sistem Jabatan MyIMMS oleh pegawai verifikasi yang bertugas mendapati terdapat pindaan pada butiran nombor pasport lama dan butiran diri dalam pasport pada muka surat biodata kesemua warganegara Bangladesh tersebut.
“Wanita warga tempatan yang berusia 39 tahun telah ditahan dan ditangkap kerana atas kesalahan di bawah Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ruslin berkata, kesemua warganegara Bangladesh lingkungan usia 24 hingga 46 tahun ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l), akta yang sama iaitu menggunakan atau tanpa kuasa yang sah memiliki dokumen perjalanan yang dipinda atau dipalsukan.
Katanya, kesemua yang ditahan kemudiannya telah dibawa ke Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.
Tambahnya, wanita warga tempatan terbabit ditahan di bawah Seksyen 51(5)(a), Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur.
Manakala, 27 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Bangladesh ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b), Akta Imigresen 1959/63 dan dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan serta tindakan lanjut, ujarnya.
Dalam pada itu, Ruslin berkata, pihaknya menyeru kepada semua majikan yang telah mendaftar PATI untuk program RTK 2.0 supaya segera hadir ke pejabat RTK 2.0 JIM Kuala Lumpur untuk menyelesaikan proses verifikasi.
Ini membolehkan urusan pengeluaran permit kerja sementara disempurnakan tanpa menunggu sehingga saat akhir, selain mengelakkan kesesakan.
Jelas beliau, selari dengan dasar keselamatan tanpa kompromi, pihaknya menegaskan bahawa semua pihak harus bekerjasama bagi memastikan negara ini sebagai tempat yang tidak kondusif kepada PATI dan majikan yang menggaji atau melindungi golongan tersebut.
Tegas beliau, orang ramai dinasihatkan untuk tidak cuba melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta mana-mana peraturan atau perundangan lain.
“Sebarang aduan berkenaan PATI di sekitar ibu kota, orang ramai diseru untuk melaporkan ke Unit Aduan, Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur atau hadir terus ke pejabat.
“Mereka juga boleh menghantar e-mel ke aduan_penguatkuasajimwpkl@imi.gov.my atau membuat panggilan telefon ke talian 03-6205 7515,” tambahnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment