NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wakil rakyat sokong Anwar kerana ‘tekanan’, kata Sanusi

Sanusi Nor berharap tindakan menyeberang baru-baru ini yang terakhir dilakukan oleh Ahli Parlimen PN.



PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Sanusi Nor mengakui tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu menyokong Anwar Ibrahim kerana “tekanan” yang dialami mereka susulan tiada peruntukan kewangan mencukupi untuk ‘menjaga’ kawasan masing-masing.

Beliau yang juga ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) mendakwa kerajaan pusat sengaja membiarkan wakil rakyat di kawasan pembangkang “kelaparan” sehingga memaksa mereka menyokong perdana menteri.

“Saya rasa itu pun sejenis tekanan. Dia (Anwar) membiarkan (wakil rakyat) itu kelaparan dan dibiarkan (tanpa peruntukan kepada Ahli Parlimen) kerana tekanan berlaku di kawasan tadbirannya, orang tuntut macam-macam tapi dia tidak ada kemampuan.

“Jadi sampai dia letih, dia terpaksalah (sokong perdana menteri),” katanya menurut Berita Harian.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Buku Pokok Sena 2024 di Dewan Serbaguna Pokok Sena.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan bahawa perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang ialah mengenai peruntukan Ahli Parlimen untuk memohon wang bagi tujuan-tujuan politik wakil rakyat.

Sementara itu, Sanusi berharap tindakan menyeberang itu yang terakhir dilakukan oleh Ahli Parlimen PN.

“Saya harap itu yang terakhirlah. Orang pun tak lah gila semua atas dunia ni dah jadi wakil rakyat tak ada bajet, jadi tekanan kat dia, lama-lama dia pun akan panas,” katanya.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Zulkafperi Hanapi menjadi Ahli Parlimen Bersatu keenam mengisytiharkan sokongan kepada perdana menteri.

Namun, beliau menegaskan masih setia kepada Bersatu, sambil menyatakan tindakan itu bagi memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Parlimennya terus terbela.

Sebelum ini, lima Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar, iaitu Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada Disember lalu, Syed Abu Hussin mendakwa terdapat tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen PN akan menyatakan sokongan kepada Anwar.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo