NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tze Yong dapat sentuhan bekas jurulatih fizikal Chong Wei

Tze Yong (kanan) ketika sidang media menjelang Kejohanan Super 1000, PETRONAS Malaysia Open 2024 di Akademi Badminton Malaysia, pada Jumaat. Foto Bernama


PEMINAT badminton tanah air dijangka dapat melihat Ng Tze Yong yang lebih mantap pada saingan Terbuka Malaysia 2024 bermula Selasa ini di Axiata Arena, selepas pemain perseorangan lelaki itu menerima sentuhan bekas jurulatih fizikal Datuk Lee Chong Wei, Mohd Rosdi Abd Ghani.

Jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan berkata, sebelum ini Tze Yong, 23, didapati mempunyai kekurangan dari segi kekuatan dan kecergasan, yang menyukarkannya memberi cabaran kepada barisan pemain ternama dunia secara konsisten walaupun beliau pernah mencipta kemenangan mengejut, termasuk ke atas pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen.


Barisan kejurulatihan negara telah menggunakan tempoh lebih kurang sebulan dari hujung musim lepas hingga kejohanan pembuka tirai 2024 ini, untuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti, termasuk mendapatkan khidmat Mohd Rosdi.

"Sebelum ini kurang fokus untuk kecergasan kerana banyak kejohanan berturut-turut, jadi pada masa ini masa untuk tumpukan kepada kecergasan. Jadi kita akan dapat melihat pada Terbuka Malaysia apa hasilnya, jika ada peningkatan yang meyakinkan dari segi kekuatan dan kecergasan... kita percaya ada,” katanya pada sidang media kejohanan itu di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Juara Dunia 2001 berasal dari Indonesia itu berkata, jika dibandingkan dengan bekas jaguh negara Chong Wei dan seorang lagi pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, kekuatan fizikal Tze Yong agak kurang.


"Contohnya dari segi serangan dan tenaga tak sama macam Chong Wei dan Zii Jia, tetapi serangan pada sudut tertentu dan serangan balas yang baik, yang itu kita harus tingkatkan. Kita juga harus mengikuti zaman kerana kini perlukan kelajuan dan tenaga, berbanding zaman saya dulu lain, pemain main rali masih boleh muncul juara.


"Tze Yong dulu banyak kalah pusingan pertama, sekarang banyak ke suku akhir, separuh akhir dan mengejutkan pemain lebih baik, tetapi masih kurang dari segi ketekalan. Jurulatih pun sedang cuba, kita pun mahu cepat tetapi perlu berhati-hati kerana tidak mahu menyebabkan kecederaan,” katanya.

Beliau turut mengakui mengalami tekanan sejak Chong Wei bersara pada 2019 kerana belum mampu melahirkan seorang lagi pemain yang mampu menjadi jaguh dunia, namun optimis dengan peningkatan dan perkembangan yang ditunjukkan Tze Yong yang kini menduduki ranking ke-15 dunia.


Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berharap bahawa pengalaman dan kebolehan Mohd Rosdi mampu membantu Tze Yong memperbaiki kekurangannya untuk mampu menandingi pemain terbaik dunia secara konsisten.

"Harap beliau dapat kaji keadaan Tze Yong... yang paling utama kita kenal pasti adalah kena meningkatkan kecergasan, kekuatan tubuh, kekuatan kaki, kerana kekuatan tubuh bawah boleh sokong pinggang semua. Kalau tak, nanti terlalu bergantung pada kekuatan tubuh atas yang boleh menyebabkan kecederaan.


"Antara kekuatan Tze Yong yang saya dapat lihat, pukulannya boleh mengelirukan lawan dan tidak dapat diambil. Beliau perlu melakukan lebih banyak smesy silang dan pukulan junam untuk meraih mata,” katanya.

Beliau turut menegaskan keperluan untuk meningkatkan pengumpulan data perlawanan seperti jenis pukulan, serangan yang berjaya dan tidak untuk tujuan peningkatan prestasi.


Dalam pada itu, Tze Yong mengakui prestasinya menunjukkan peningkatan selepas latihan intensif selama sebulan ini, selain mendapat peluang untuk berlatih bersama Chong Wei beberapa hari lepas.

"Memang ada peningkatan pada kali ini kerana sebelum ini latih satu dua minggu tak nampak sangat perbezaan. Saya juga gembira dapat belajar beberapa perkara daripada Datuk Chong Wei, yang sangat berguna,” katanya. - Bernama








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo