NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tebatan banjir: Gesaan Agong perlu dipandang serius




KUALA LUMPUR:
 Gesaan Yang di-Pertuan Agong agar projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) tidak dipolitikkan perlu diberi perhatian oleh kerajaan, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sehubungan itu, beliau menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertitah agar pembinaan projek RTB yang telah dirancang di negeri Pahang disegerakan.

“Gesaan Tuanku agar projek itu tidak dipolitikkan perlulah diberi perhatian dan dipandang serius oleh kerajaan,” ujarnya dalam kenyataan di laman sosial beliau, hari ini.

Beliau berpendapat bahawa perhatian serius dan tindakan segera itu perlu diambil kepada kesemua 25 projek tebatan banjir yang telah dirancang oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) semenjak 2020.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 7 projek RTB terletak di dalam negeri Pahang.

“Janji YAB Perdana Menteri untuk segera memulakan projek RTB di seluruh negara pada Jun 2023 hanya tinggal janji.

“Projek ini terus dikesampingkan daripada perhatian dan menjadi janji politik apabila ianya terus sekadar menjadi ikrar,” ujarnya yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis lalu bertitah supaya kerajaan menyegerakan projek tebatan banjir yang telah dirancang di Pahang dan jangan mempolitikkan usaha itu.

“Saya harap jangka panjang kerajaan harus percepatkan projek-projek tebatan banjir, yang telah dirangka oleh pihak berwajib di seluruh Pahang, dan saya harap janganlah berpolitik dalam hal ini, seelok-eloknya ambil secara serius dan urgent untuk bina tebatan banjir di seluruh Pahang,” titah baginda ketika berangkat melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Chini 1, Pekan. Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berangkat.

Terbaharu, kata Tuan Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri pula menyatakan kerajaan akan menyegerakan projek RTB itu ketika beliau berada di Johor baru-baru ini.

Beliau mempersoalkan sampai bila rakyat harus menanggung kerugian akibat banjir dan menunggu janji-janji yang dilafazkan oleh kedua-dua pemimpin utama negara.

“Saya menasihatkan kepada kerajaan agar serius untuk menjaga kebajikan rakyat dan mendengar titah Baginda Tuanku.

“Tumpukan kerja tanpa takut kepada bayang-bayang ciptaan sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. – HARAKAHDAILY 13/1/2024



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo