NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tak rasa Bukit Gantang ada maklumat penuh, kecuali dia perancangnya – Wan Saiful

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan bercakap pada program Wacana Intelek Pembangunan Ekonomi Bumiputera ketika di Anjung Melayu, Bukit Petaling, Kuala Lumpur. 


KUALA LUMPUR – Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpecah dan wujud puak-puak.

Berikutan itu, bekas Ketua Penerangan parti itu, tidak tahu daripada mana Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendapat maklumat berkenaan.

Bagaimanapun, kata beliau, sebagai parti yang sihat, tidak dinafikan wujud perbezaan pendapat dalam perbincangan secara dalaman. 

“Saya pun tidak tahu dari mana dia dapat cerita. Yang pentingnya setiausaha agung jawatan dilantik oleh presiden begitu juga jawatan lain, jadi saya tidak nampak kewujudan kem-kem tersebut.

“Yang pasti Bersatu bergerak sebagai satu pasukan, kita bincangkan pelbagai pandangan dalam mesyuarat memang sewajarnya pelbagai pandangan dibincangkan. Saya tidak nampak apa-apa perkara tidak sihat dalam Bersatu sekarang,” katanya kepada pemberita selepas Wacana Intelek bertajuk Pembangunan Ekonomi Bumiputera hari ini.

Baru-baru ini, Syed Abu Hussin mendakwa Bersatu kini berpecah kepada kem presiden dan kem setiausaha agung.

Situasi dilaporkan susulan daripada tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat ‘pusingan U’ selepas mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan akan datang.

Mengulas lanjut Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, beliau tidak mendengar ura-ura 10 ahli Bersatu akan menyokong kerajaan seperti yang didakwa Syed Abu Hussin. 

“Elok begini, kita tunggu dan lihat, saya tidak rasa Ahli Parlimen Bukit Gantang ada maklumat penuh, melainkan dia adalah perancang semuanya. 

“Saya tidak tahu dari mana dia dapat maklumat. Malam ini kita akan bincangkan secara serius mengenai apa yang berlaku, kita tengoklah reaksi daripada mesyuarat nanti macam mana,” tambahnya.

Syed Abu Hussin baru-baru ini mendakwa antara ahli Parlimen Bersatu yang akan menyokong perdana menteri adalah ahli Parlimen dari utara (Kedah, Perak dan Pulau Pinang), tiga dari negeri timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta dua dari Selangor dan Melaka.

Dalam pada itu Wan Saiful menyifatkan Bersatu di semua peringkat perlu mengakui cabaran yang dihadapi parti yang baru ditubuhkan beberapa tahun itu. 

Ujarnya, tanggungjawab memperkukuhkan parti bukan datang daripada pihak kepimpinan sahaja malah dalam kalangan ahli parti. 

“Ini satu cabaran yang perlu diterima secara berhemah dan saya rasa Bersatu tidak wajar menafikan kewujudan cabaran tersebut yang memerlukan sokongan semua daripada Bersatu,” tambahnya.  – MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo