KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya melakukan tindakan segera untuk mengukuhkan semula nilai ringgit yang dilihat semakin menyusut.
Penganalisis sosial, Shahir Adnan berkata, nilai ringgit kini semakin menjunam kepada paras yang teruk dengan kadar tukaran $1USD bersamaan RM4.73 baru-baru ini.
Katanya, ringgit turut mencatat paras harian terendah baharu berbanding dolar Singapura apabila mata wang negara jiran itu mengukuh seiring dengan kenaikan dolar Amerika Syarikat (AS).
“Dengan nilai dolar Singapura yang lebih tinggi, tidak menghairankan bahawa ramai rakyat Malaysia melintasi selat Johor untuk mendapatkan gaji dalam dolar Singapura kerana kadar pertukaran yang lebih tinggi adalah peluang untuk meningkatkan simpanan bersih mereka.
“Terbaru, berita yang tular di media sosial baru-baru ini berkaitan seorang pensyarah IPTS yang berhijrah dan bekerja sebagai tukang bersih di Singapura telah menimbulkan semula isu berkenaan gaji tidak setimpal kerana ekonomi yang lemah di negara sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shahir lagi, keadaan seperti itu tentunya merugikan negara kerana berlaku aliran keluar golongan profesional dan tenaga kerja mahir serta separa mahir ke luar negara ekoran nilai ringgit rendah, subsidi ditarik, cukai dinaikkan dan akhirnya kos sara hidup naik, tidak turun-turun.
Sehubungan itu, katanya, antara perkara yang boleh dilakukan ialah memperkuatkan kempen beli barangan tempatan dan menggalakkan syarikat yang berurusan import dan eksport membuat hedging atau langkah melindung nilai bagi menstabilkan penukaran mata wang asing ke ringgit. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment