NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Polis tahan pembantu rumah Indonesia bantu siasatan penemuan mayat bayi lelaki



KANGAR – Polis menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki yang ditanam di belakang rumah jiran majikannya, di Taman Mutiara, di sini, pada 30 Disember lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Baeyah Abdul Wahab berkata, tangkapan ke atas wanita berusia 28 tahun itu, dibuat dalam serbuan di rumah majikannya pada pukul 2.20 petang 30 Disember selepas menerima laporan orang awam berkaitan penemuan satu mayat bayi lelaki di kawasan belakang rumah itu pada pukul 11.01 pagi, hari sama.

“Siasatan awal mendapati, bayi lelaki yang ditemukan tertanam pada kedalaman lima inci dan kawasan tersebut juga merupakan tempat terbuka dan tidak berpagar.

“Bayi ditemukan dengan masih bertali pusat dan beruri dengan dibalut kain berwarna putih. Bayi lelaki ini ditanam di belakang rumah jiran sebelah rumah majikannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Baeyah berkata, hasil soal siasat yang dijalankan, wanita itu dipercayai telah menanam bayi lelaki tersebut selepas mendapati bayi itu tidak lagi bernyawa selepas melahirkannya secara berseorangan dalam rumah majikannya itu.

“Suspek melahirkan bayi ini pada 20 Disember lepas, waktu tengah hari, dan kemudian 21 Disember dia menanam bayi ini dalam pukul 6.30 pagi, dan hasil siasatan kita mendapati sewaktu kejadian majikannya yang merupakan pasangan suami isteri berniaga, berada di luar Kangar, ke Kuala Lumpur,” katanya.

Baeyah berkata, siasatan awal mendapati majikannya tidak menyedari wanita itu mengandung, kerana perutnya tidak menampakkan seperti wanita mengandung dan suspek itu datang bekerja di Malaysia pada Mei tahun lepas.

Beliau berkata, suspek itu direman hingga 5 Januari nanti yang bermula 31 Disember lepas dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Baeyah berkata, mayat bayi lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah untuk proses bedah siasat dan tiada sebarang kecederaan luaran ditemukan, manakala bahagian organ dalaman pula mengalami kesan pereputan teruk. – Bernama





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo