Protes terhadap pembinaan loji pembakaran sisa di Batu Arang hari ini adalah yang kedua dianjurkan oleh penduduk yang membantah projek itu. (Gambar File) |
PETALING JAYA: Sekumpulan penduduk Rawang mengadakan protes aman kedua hari ini membantah cadangan pembinaan loji pembakaran sisa di Batu Arang, Gombak.
Protes yang dihadiri kira-kira 300 penduduk itu menyusuli “Larian Bantahan Insinerator Batu Arang” yang diadakan pada Oktober tahun lepas oleh Rawang Tolak Incinerator (RTI) Network.
RTI Network mewakili penduduk Batu Arang, M Residence, Kota Puteri dan Bandar Tasik Puteri, yang membantah pembinaan loji tenaga hijau Sultan Idris Shah (SIS) bernilai RM4.5 bilion itu, menyatakan kebimbangan mengenai impaknya terhadap alam sekitar.
Jurucakapnya, Abdul Hanan Mokti berkata, kumpulan itu akan terus mengadakan protes untuk mengingatkan kerajaan negeri bahawa penduduk menentang projek itu, dan mewujudkan kesedaran awam.
“Sebagai contoh, kerajaan negeri mencadangkan perubahan penggunaan tanah itu daripada kediaman kepada industri berat, dan ini dalam peringkat (mengumpul) maklum balas.
“Kami akan menggunakan peluang itu untuk menyuarakan kebimbangan dan tentangan kami (terhadap projek ini),” katanya kepada FMT.
Ada antara penduduk Rawang yang mengambil bahagian dalam protes hari ini meluahkan rasa kecewa kerana Menteri Besar Selangor Amirudin Shari tidak hadir, walaupun diundang.
Penduduk-penduduk itu berkata mereka menghantar memorandum kepada Amirudin pada Disember tetapi masih belum menerima maklum balas. Sebaliknya, beberapa penduduk dijemput untuk menghadiri mesyuarat di pejabat KDEB Waste Management untuk mendengar alasan syarikat itu.
Hanan berkata, beliau berharap kerajaan negeri akan mengotakan kata-katanya bahawa ia “berpaksikan rakyat”.
“Kami (penduduk Rawang) rakyatnya. Jika mereka tak dengar luahan kami, siapa (rakyat) yang dimaksudkan oleh kerajaan itu?”
FMT telah menghubungi Amirudin untuk mendapatkan komen.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment