Siti Masturi Muhammad percaya ‘fakta’ itu sah memandangkan ia diperoleh daripada buku Barisan Nasional. (Gambar Facebook) |
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad mendakwa kenyataannya berhubung veteran DAP Lim Kit Siang ialah sepupu kepada pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng berdasarkan sumber politik dipercayai sah.
Ahli Parlimen PAS itu dalam pembelaannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam terhadap saman oleh tiga pemimpin kanan DAP berkata, fakta terbabit diperoleh daripada bahan kempen Barisan Nasional dalam buku terbitan Jabatan Komunikasi gabungan itu (BNCOMMS).
Dia turut memetik sumber “boleh dipercayai” sama atas dakwaannya berhubung Kit Siang dan anaknya, Guan Eng, yang juga pengerusi DAP, adalah sepupu kepada bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew manakala Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ialah sepupu Betty Chew, isteri Guan Eng.
Kit Siang, Guan Eng dan Kok dalam saman berasingan mereka mendakwa Mastura membuat kenyataan berunsur fitnah mengaitkan mereka dengan Chin Peng serta Lee, antara lain. Saman itu sudah disatukan dan akan didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Mastura didakwa berkata pemimpin DAP menyokong, mengamal dan menyebarkan ideologi serta falsafah komunis. Dia didakwa membuat dakwaan itu dalam ceramah politik pada 4 Nov lalu.
Tiga ahli politik itu menegaskan dakwaan defendan tidak berasas dan palsu kerana sengaja mengaitkan mereka dengan PKM serta Chin Peng. Mereka menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, serta injunksi untuk menghalangnya mengulangi dakwaan itu.
Mastura berkata sumber itu ialah entiti yang memainkan peranan penting untuk menyampaikan dasar serta agenda BN kepada ahlinya dan rakyat, justeru dia percaya maklumat diperolehinya daripada buku BN adalah sah.
Dia turut mendakwa membuat kenyataan itu dalam himpunan tertutup ketika kempen PRK Kemaman yang bukan untuk penerbitan atau penghasilan klip video disebarkan.
“Ucapan itu sebahagian daripada kempen politik ketika PRK Kemaman. Hampir semua ahli politik memberi ucapan menyentuh pihak lawan, yang merupakan kelaziman di Malaysia,” katanya dalam pernyataan pembelaan dilihat FMT.
“Konteks ucapan itu untuk pengundi memahami pendirian dan falsafah pembangkang, khasnya Pakatan Harapan dan BN, di mana DAP menjadi tulang belakang. Ia juga bagi menangkis dakwaan mereka bahawa PAS parti ekstremis yang menunggang agama.”
Katanya konteks ucapannya untuk berkempen bagi PAS memenangi kuasa dan mempertingkatkan Islam di negara ini, sambil menambah menjadi tanggungjawabnya berbuat demikian sebagai wakil rakyat.
Memetik pembelaan komen adil dan keistimewaan layak, Mastura berkata tiada apa dalam ucapannya mempunyai unsur dakwaan palsu atau berniat jahat seperti didakwa plaintif.
Berhubung video tular ucapannya, katanya bukan dirinya atau mana-mana ejennya yang menyunting atau mengarahkan video itu dihasilkan, selain dirinya bukan pemilik akaun TikTok “@kopitarik24” yang dipetik plaintif.
“Saya juga tidak kenal pemilik akaun itu atau ada kaitan dengan orang itu.”
Mastura berkata dia juga tidak bertanggungjawab terhadap penghasilan ucapannya dalam mana-mana media, justeru dia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesan daripadanya.
SN Nair akan mewakili plaintif, manakala Tetuan Faizi & Associates mewakili Mastura.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment