PETALING JAYA: Langkah melantik penasihat dalam kalangan tokoh berpengalaman dan berpengaruh disifatkan tidak memadai menyelesaikan masalah Umno Terengganu, menurut seorang penganalisis.
Sebaliknya, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, kelangsungan Umno Terengganu bergantung kepada kepimpinan peringkat nasional untuk mengembalikan keyakinan pengundi Melayu yang menolaknya pada PRU15 dan PRN
“Persoalan menyelesaikan masalah Umno di Terengganu atau keseluruhan Semenanjung bukan sangat (bergantung) pada kepimpinan mereka, walaupun dikatakan ada faktor kepentingan negeri, tetapi amat bergantung kepada kepimpinan (peringkat) nasional.
“Apabila pengundi hilang keyakinan terhadap Umno pada peringkat nasional, (pengaruh) akan turun ke negeri-negeri,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata, pertukaran ketua Umno di negeri itu, yang kini disandang Rozi Mamat, hanya membawa sedikit kesan positif dalam mengembalikan semangat Umno.
“Kepimpinan di atas perlu beri keyakinan kepada pengundi Melayu bahawa Umno adalah parti untuk mereka. Jadi itu yang perlu selesaikan dahulu, pada peringkat nasional, bukan negeri,” katanya.
Semalam, tiga bekas menteri besar dan seorang bekas panglima tentera dilantik sebagai penasihat Umno Terengganu.
Mereka terdiri daripada Idris Jusoh, Ahmad Said, Ahmad Razif Abd Rahman, dan Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi, bekas calon Barisan Nasional (BN) yang tewas pada PRK Kemaman 2 Dis lepas.
Sementara itu, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya menyifatkan empat penasihat berkenaan calon terbaik dalam kalangan tokoh Umno Terengganu.
“Perlu adil menilai bahawa mereka juga pernah menaikkan (nama Umno) dan bawa kemenangan kepada Umno suatu ketika dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, parti itu perlu memberikan perhatian kepada kepimpinan anak muda pada peringkat cawangan dan bahagian.
Katanya, parti itu perlu memberikan tumpuan kepada “ruang gema luar” dalam usaha mengukuhkan sokongan, terutamanya dalam kalangan pengundi muda.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment