NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan perlu proaktif tangani kejatuhan ringgit




KUALA LUMPUR: Kejatuhan nilai ringgit berturut-turut menandakan kerajaan perlu melakukan langkah intervensi segera yang konkrit dan komprehensif, kata Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib.

Menurutnya, seperti umum mengetahui, kejatuhan nilai ringgit boleh menyebabkan peningkatan kos hidup bagi rakyat Malaysia.

Katanya, impak itu mungkin dirasai dalam bentuk kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, yang boleh memberi tekanan kepada isi rumah secara keseluruhannya.

Apatah lagi, ujarnya bermula pada tahun ini rakyat akan semakin terbeban dengan kenaikan cukai SST dan cukai-cukai baharu seperti Cukai Barangan Bernilai Tinggi pada kadar antara 5 hingga 10 peratus dan Cukai Barangan Bernilai Rendah yang dijual di atas talian pada kadar 10 peratus.

Tambahnya, lebih membimbangkan, keadaan ini mungkin merumitkan usaha untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia.

“Kejatuhan nilai mata wang secara mendadak akan memberi persepsi negatif kepada pelabur asing, yang mungkin menimbulkan keraguan terhadap stabiliti ekonomi negara,” ujarnya susulan kejatuhan ringgit yang masih lagi menjunam ketika ini di mana nilai USD1 bersamaan RM4.73.

Tambahan pula, katanya kesan kejatuhan ringgit juga boleh memberi kesan terhadap urus niaga perdagangan luar negara.

Menurutnya lagi, peningkatan kos import boleh merosakkan kecairan perdagangan dan memberi tekanan kepada syarikat-syarikat tempatan.

“Ingin saya tegaskan di sini, bahawa Kerajaan Persekutuan mesti mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk menghadapi cabaran ini.

“Usaha-usaha ini mungkin melibatkan penilaian semula dasar fiskal dan monetari, serta usaha untuk memastikan kestabilan mata wang negara,” tambahnya.

Justeru, beliau menyarankan agar semua pihak terutamanya rakyat kebanyakan perlu mengambil sikap berhemah dalam perbelanjaan harian dan bulanan agar dugaan kejatuhan ringgit itu dapat dilalui dengan tenang. – HARAKAHDAILY 27/1/2024


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo