KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bangi mengecam sikap Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan tidak mengambil tindakan serius ekoran kenyataan kontroversi Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.
Ketua, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Anwar dan kerajaan seolah-olah mengambil mudah terhadap kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP itu.
“Jika pemimpin atau aktivis Bersatu bercakap mengenai hak orang Islam dan Melayu, maka pelbagai agensi dikerah mengambil tindakan segera.
“Tetapi apabila DAP biadab, mohon maaf sambil lewa melalui Facebook sahaja nampaknya sudah cukup bagi Anwar dan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 28 Disember lalu, FMT melaporkan, Koo Ham mencadangkan pakar perundangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Keesokannya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.
Pada 30 Disember lalu, Anwar berkata, beliau mendukung sepenuhnya titah Sultan Selangor itu sambil menambah, orang bukan Islam boleh membuat pertanyaan terhadap sebarang kemusykilan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Koo Ham telah membuat permohonan maaf menerusi satu kenyataan pada 31 Disember lalu.
Wan Saiful menambah, Bersatu Bahagian Bangi menolak permohonan maaf Koo Ham itu dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap beliau kerana menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mendesak pemimpin-pemimpin UMNO bersikap tegas dengan menarik sokongan terhadap Anwar sekiranya beliau terus berlembut dengan kebiadaban pemimpin DAP.
“Bersatu Bangi menuntut para pemimpin UMNO berhenti menjadi apologis dan jurukempen DAP dalam kalangan orang Melayu-Islam,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment