KUALA LUMPUR – Walaupun ada dakwaan terdapat beberapa lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendakwa spekulasi itu tidak benar.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, semua Ahli Parlimen pembangkang masih setia dengan gabungan tersebut.
“Setakat ini semua (Ahli Parlimen PN) kekal bersama parti, tak akan sokong PMX melainkan mereka (enam Ahli Parlimen PN) yang sudah kata sokong,” katanya hari ini.
Mas Ermieyati mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengesahkan 10 lagi ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengumumkan sokongan terhadap Anwar.
Awal hari ini, Syed Abu Hussin Hafiz mendakwa, mereka yang terlibat ialah lima ahli Parlimen dari utara (Kedah, Perak dan Pulau Pinang), tiga dari timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta dua dari Selangor dan Melaka.
Beliau mendakwa, gerakan menyokong Anwar itu akan berlaku menjelang 28 Februari ini ketika Dewan Rakyat bersidang.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, majoriti Ahli Parlimen pembangkang telah menyataan kesetiaan kepada parti termasuk semua tiga Ahli Parlimen PN dari Melaka.
“Ahli Parlimen PN Melaka dari Pas dan Bersatu setakat ini masih kekal setia bersama parti PN, saya sendiri dari Melaka kekal dengan parti Bersatu dan tak akan sokong perdana menteri (Anwar) walaupun cuba dipujuk pihak tertentu.
“Saya yakin Ahli Parlimen Bersatu lain juga kekal bersama parti, tak akan sokong Anwar melainkan mereka yang sudah kata sokong. Kita ahli Parlimen pembangkang akan cuba sehabis baik berkhidmat untuk rakyat walaupun berdepan kepayahan, ujian dan sebagainya,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati turut mendedahkan beliau ada dihubungi beberapa kali oleh individu bergelar Datuk yang mendakwa mereka dari Pejabat Perdana Menteri.
Panggilan pada awal Disember lalu itu, dakwanya bagi mengaturkan pertemuan dengan dirinya bagaimanapun ditolak.
Beliau tidak menolak kemungkinan tawaran berjumpa itu cuba diatur bagi memujuk wakil rakyat Bersatu menyokong Anwar sepertimana yang dilakukan kepada enam wakil rakyat pembangkang sebelum ini.
“Saya sendiri sebenarnya telah dihubungi individu mendakwa dirinya ada aktiviti perniagaan dari Pejabat Perdana Menteri, malah saya sendiri tidak pernah dengar ada ahli perniagaan dari pPejabat Perdana Menteri, beliau dakwa dirinya seorang ‘Datuk’ ingin berjumpa saya,” katanya lagi.
Semalam, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi Ahli Parlimen keenam PN yang menyatakan sokongan terhadap Anwar.
Lima yang lain adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment