NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kaji kerjasama DAP, bukan hanya lantik penasihat



PETALING JAYA: Umno perlu mengkaji kerjasama dengan DAP jika serius mahu menawan semula Terengganu, bukan sekadar melantik empat penasihat, kata veteran yang juga bekas pemimpin Abdul Rahman Bakar.

Beliau berkata, keputusan melantik tiga bekas menteri besar dan seorang bekas panglima tentera sebagai penasihat Umno Terengganu belum memadai untuk merampas pentadbiran daripada PAS pada PRU akan datang.

“Peranan (empat pemimpin dilantik) diakui, tetapi belum cukup untuk menarik semula sokongan rakyat kembali kepada Umno terutama di Terengganu. Antara sebab paling besar ialah kerjasama dengan DAP.

“Pucuk pimpinan kena kaji balik kerjasama, rata-rata orang Melayu tak suka DAP. Kalau BN kekal dengan DAP siapa pun dilantik penasihat Umno tak beri kesan…BN tetap sukar menang Terengganu,” kata bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno kepada FMT.

Tiga bekas menteri besar-Idris Jusoh, Ahmad Said dan Ahmad Razif Abd Rahman serta bekas calon BN yang kalah PRK Kemaman 2 Dis lalu, Raja Mohamed Affandi dilantik penasihat Umno Terengganu berkuat kuasa 13 Jan.

Rahman, 72, berkata selain mengkaji kerjasama dengan DAP, pemimpin tertinggi Umno perlu berusaha membebaskan bekas presiden parti, Najib Razak dari penjara.

“Kalau Najib keluar penjara BN akan kembali menang. Buktinya zaman Najib tujuh PRK BN menang, dua PRN BN menang iaitu Melaka dan Johor. Pendekatan Najib semua orang suka.

“Kalau tak bebaskan Najib, kabur untuk BN menang PRU akan datang,” katanya yang juga presiden Kelab Sahabat Najib Razak (N87).

Beliau yang diberi jolokan “Giant Killer” kerana menewaskan Presiden PAS Hadi Awang di Parlimen Marang pada PRU 1986 dan 2004 berkata, faktor lain perlu ditangani Umno jika mahu memikat hati rakyat terutama Melayu ialah ia tidak boleh lagi menumpukan program di pusat daerah mengundi (PDM) dan cawangan sahaja.

“Perbanyakkan program di institusi pendidikan bagi menarik pengundi muda. Pemimpin pusat juga perlu elak ‘bergaduh’ sesama sendiri sehingga memberi kesan kepada parti di peringkat akar umbi.

“Penyatuan di peringkat pusat penting, kalau barisan pimpinan di negeri baik tapi di pusat masalah ‘bergaduh’ sana-sini akan beri kesan kepada sokongan rakyat,” katanya.

Katanya, Umno dan BN juga perlu “meniru” cara PAS berkempen dengan melakukan gerak kerja, rajin turun padang dan adakan program secara menyeluruh bukan hanya acara berkelompok tertentu sahaja.


Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo