ALOR SETAR - Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggunakan pendekatan dakwah yang tersendiri apabila berkaraoke secara dalam talian hingga ke lewat pagi.
Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, biarpun tindakan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu mengundang kecaman, namun ia harus dilihat dari aspek positif selagi tidak menyalahi syarak.
Menurutnya, Pas turut menerima teguran daripada ahli parti itu yang kurang senang dengan perbuatan Sanusi dan menegaskan kepimpinan Pas akan menguruskan hal berkenaan secara rasional.
“Saya sendiri terima pelbagai pandangan dan saya baca komen di media sosial termasuk TikTok berhubung isu itu. Ada bersifat teguran, ada yang marah sehingga anggap (Sanusi) lakukan dosa besar.
“Ada yang kata tak sepatutnya seorang pemimpin buat begitu, hingga ada hantar kepada saya mengatakan kami diminta bermunajat, qiamullail, zikir dan wirid tetapi pemimpin berkaraoke, itu antara pandangan diberikan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah sebaliknya menyambut baik reaksi ahli-ahli parti kerana ia menunjukkan keprihatinan mereka kepada parti dan berani menegur pemimpin.
“Mungkin apa dilakukan Sanusi dari satu sudut, ahli berasa kurang selesa atau tidak sesuai.
“Namun satu perkara yang hebat, setiap kali Sanusi bersiaran ‘live’ sama ada karaoke atau menyanyi, isteri beliau (Tok Puan Jusmalailani Jusoh) ada bersama di sisi cuma tidak kelihatan dalam sesi tersebut.
“Orang hanya nampak Sanusi dengan pemilik akaun wanita itu sahaja, timbullah teguran dan kecaman,” ujarnya.
Sebelum ini, Sanusi mengundang kecaman orang ramai selepas dikatakan asyik berkaraoke dengan wanita lain melalui platform TikTok sehingga lewat pagi.
Pada 27 Disember lalu, Sanusi mempertahankan tindakannya itu dengan menyifatkan ia bukan suatu kesalahan selagi tidak menyalahi perundangan atau agama.
Sanusi jelaskan, tidak salah untuk memanfaatkan setiap ruang khususnya media sosial kerana ia mempunyai pengaruh besar, namun menjadi isu apabila musuh politik mengambil kesempatan menyunting bahagian tertentu siaran tersebut dan disertakan kapsyen 'panas'.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, parti sentiasa menerima pandangan ahli dan perkara itu akan diteliti kepimpinan parti.
“Parti akan uruskan macam mana, pandangan Sanusi juga harus diberikan pertimbangan di pihak kita.
“Setiap perkara ada pro dan kontra, cuma kita mahu pertimbangkan agar jangan sampai menyalahi syarak dan menimbulkan fitnah. Insya-ALLAH ada kebaikannya jika kita berada atas landasan serta ikut panduan ulama,” ujarnya.
Menurutnya, pendekatan ‘santai’ Sanusi itu dipercayai dilakukan untuk menarik golongan tertentu mendekati Pas.
“Sanusi pernah sebut, ada sesuatu perlu kita lakukan dengan bersungguh-sungguh, iaitu sasaran dan ruang lingkup dakwah. Beliau ada nyatakan dalam PRU lepas, Pas berjaya tarik semua golongan termasuk tokoh agama tertentu yang besar pengikutnya. Mereka beri sokongan dan menambah kekuatan sedia ada.
“Namun ada lagi sasaran dakwah yang perlu didekati, iaitu mereka yang ada di padang bola atau media sosial yang luas pengikutnya, termasuk kumpulan yang jauh daripada ulama supaya mendekati kita,” jelasnya.
Ahmad berkata, apabila golongan tersebut berjaya didekati, golongan ustaz dan ulama pula harus memainkan peranan untuk membimbing dalam pelbagai aspek.
“Pihak lawan label ‘tok lebai’ hanya tahu tazkirah, kuliah agama, mengajar tetapi bila Sanusi buat sesuatu berbeza (karaoke), mereka pun terfikir Pas pun boleh buat seperti itu.
“Jadi tugas berdakwah ada pada semua, saya percaya ia membawa kebaikan kepada banyak pihak termasuk parti, kepimpinan mahupun ahli Pas,” katanya.
Beliau turut menyifatkan apa yang berlaku sebagai perkara positif dan bukan memudaratkan parti.
“Saya nampak kebaikan yang berlaku, antaranya kita saling ingat mengingati dan saling menegur, saya harap ia dapat diteruskan. Jika ahli nampak perkara yang kurang elok, sila tegur pimpinan.
“Kebaikan lain ialah setiap persoalan ahli dijawab secara pantas oleh pimpinan kenapa dibuat begitu, jadi bila ada jawapan, kita dapat pertimbangkan kewajaran isu berkenaan,” jelasnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment