NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isham dakwa RUU dicadang Zahid demi kepentingan diri, halang kebebasan wakil rakyat



KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham jalil mendakwa rang undang-undang (RUU) penggal tetap yang dicadangkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan untuk rakyat, tetapi demi kepentingan segelintir ahli politik dalam kerajaan termasuk Presiden UMNO itu.

Beliau mendakwa, ahli politik tersebut takut jika kerajaan bertukar, mereka akan hilang kuasa serta jawatan dan mungkin kembali didakwa di mahkamah.

“RUU ini juga akan menghalang kebebasan wakil rakyat di Parlimen untuk menukar Perdana Menteri dan kerajaan di tengah penggal sekiranya Perdana Menteri dan kerajaan sedia ada gagal mentadbir negara dengan baik atau telah hilang sokongan rakyat atau wakil rakyat di Parlimen.

“Ini boleh menyebabkan keadaan di mana Perdana Menteri dan kerajaan menjadi leka untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat dan negara dengan cekap dan amanah; keadaan ini tidak baik untuk rakyat.

“Ia juga boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa oleh Perdana Menteri dan kerajaan apabila mereka tahu akan kekal memegang kuasa sehingga habis penggal walaupun mereka gagal, tidak buat kerja, terlibat rasuah atau sebagainya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut Isham berkata, Perlembagaan Malaysia membenarkan pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan di tengah penggal jika Perdana Menteri sedia ada tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat pada hemat Yang di-Pertuan Agong.

Ujarnya, RUU yang dicadangkan Ahmad Zahid bukan sahaja mengekang suara rakyat dan wakil rakyat di Parlimen, malah mengekang kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk menukar Perdana Menteri yang pada hemat baginda telah hilang sokongan wakil rakyat di tengah penggal.

“Sekiranya Perdana Menteri dan kerajaan gagal mentadbir dan mengakibatkan kesengsaraan rakyat, adalah memudaratkan jika rakyat dan Agong perlu menunggu sehingga habis penggal untuk menukar mereka.

“Jika rakyat susah dan tidak makan akibat kegagalan kerajaan, mereka tidak boleh tunggu lima tahun. Semak imbang kerajaan oleh rakyat dan wakil rakyat perlu dilakukan secara berterusan dan bukan hanya setiap lima tahun dalam pilihan raya umum.

“Sebab itu peruntukan dalam Perlembagaan selama ini membenarkan pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan di tengah penggal,” katanya.

Tambah beliau, RUU yang digubal di Parlimen perlu dibuat untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk menyelamatkan tengkuk segelintir ahli-ahli politik dalam kerajaan.

Baru-baru ini Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mencadangkan agar diwujudkan satu RUU bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dan ia perlu dibentangkan di Parlimen.

Menurutnya, ia bagi memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.

Ahmad Zahid turut merujuk kepada gerakan ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo