KUALA LUMPUR: Peruntukan undang-undang sedia ada perlu dipinda sekiranya kerajaan berhasrat memansuhkan skim pencen untuk penjawat awam tetap yang baharu.
Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata ini kerana hak untuk berpencen kakitangan awam adalah termaktub dalam Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Pencen 1980 (Akta 227).
"Kalau perlu (untuk mansuhkan skim pencen), maka kena pinda Perkara 147 itu. Kalau Perkara 147 menetapkan mereka mesti menikmati pencen, maka kena pinda kalau mahu ubah hak pencen itu. Juga kepada akta persaraan atau pencen lain yang mesti dipinda.
"Dia mudah saja, ikut kepada peruntukan perlembagaan. Kalau tidak ada syarat penjawat awam untuk mendapatkan pencen, maka pencen itu bukan satu hak kepada mereka.
"Cuma yang ditetapkan di bawah akta pencen sekarang adalah berkaitan kawal selia pencen. Apa yang penting adalah kontrak lantikan, surat lantikan itu sama ada mereka berhak atau tidak (mendapat pencen)," katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam memaklumkan bahawa Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.
Bagaimanapun beliau berkata, bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak pun terjejas, sementara penjawat awam baru itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Komitmen kerajaan itu bagaimanapun ditolak Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang turut menggesa pemansuhan itu seharusnya dilaksanakan kepada lantikan politik khususnya wakil rakyat, menteri serta timbalan menteri.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, pencen adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan seperti mana ditetapkan di bawah Perkara 74 Jadual Kesembilan, Senarai I, Para 6(d) Senarai Persekutuan. Perlindungan hak pencen pula termaktub di bawah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal berkata, kerajaan boleh menyediakan tawaran lebih baik kepada penjawat awam baharu untuk menikmati dana persaraan lebih lumayan, jika usaha memansuhkan skim berpencen kerajaan kepada golongan itu mahu tetap dilaksanakan.
Katanya, ini termasuk menetapkan caruman kerajaan untuk KWSP pada kadar lebih tinggi berbanding yang dinikmati pekerja swasta, sebagai usaha menarik minat orang muda menyertai perkhidmatan awam.
"Akta KWSP meletakkan syarat minimum caruman daripada pekerja dan majikan. Tetapi kalau untuk satu bentuk tarikan kepada mereka yang mahu jadi penjawat awam, mungkin caruman majikan atau dari kerajaan ini boleh dinaikkan lagi.
"Kerajaan bayar caruman lebih tinggi berbanding kadar yang dinikmati oleh pekerja swasta. Jadi apabila seseorang itu pencen, maka dia akan dapat bayaran pencen lebih tinggi berbanding pekerja swasta.
"Akta KWSP ini hanya menetapkan bayaran minimum dan tidak salah kalau ia dibayar lebih dari kadar minimum ini," katanya dihubungi BH hari ini.
Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, faktor bebanan kewangan dan fiskal negara mendorong kerajaan untuk mengubah sistem persaraan sekarang kepada hanya tidak berpencen pada masa akan datang.
"Kalau kita lihat dalam belanjawan tahunan, setiap tahun 31.5 peratus daripada perbelanjaan kerajaan Pusat diperuntukan untuk emolumen. Peratusan ini meningkat sedikit demi sedikit dari tahun ke tahun.
"Kalau dilihat Belanjawan 2024, dianggarkan kerajaan akan berbelanja RM95.64 bilion untuk emolumen saja," katanya.
No comments
Post a Comment