NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GPS mahu fleksibel pilih rakan kongsi, kata penganalisis

FTPA tidak akan menguntungkan mahupun merugikan GPS, menurut felo Majlis Profesor Jeniri Amir.



PETALING JAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak begitu teruja dengan cadangan rang undang-undang untuk memastikan kerajaan persekutuan kekal sepenuh penggal kerana tidak mahu terikat dengan mana-mana rakan kongsi di Putrajaya, kata seorang penganalisis politik.

James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, kedua-dua blok pemerintah di Malaysia Timur – GPS dan Gabungan Rakyat Sabah – mahukan fleksibiliti dalam memilih dengan gabungan mana untuk menjajarkan dirinya dalam politik Semenanjung Malaysia.

“Kita sentiasa mahukan kefleksibelan kerana itu membolehkan kita berunding antara rakan kongsi, bukan? Jika kita fikir (Perdana Menteri) Anwar (Ibrahim) tidak buat yang terbaik, kita akan cuba cari rakan kongsi (politik) lain yang akan beri tawaran lebih baik.

“Dengan kerajaan berpenggal tetap, jelas sekali kita tidak boleh berunding dengan mana-mana pihak,” katanya.

Chin juga berkata, Sarawak dan Sabah “mahukan kestabilan politik, tetapi bukan yang keterlaluan” supaya mereka boleh berunding untuk mendapatkan konsesi daripada kerajaan persekutuan, terutamanya berkaitan dengan perkara-perkara daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau mengulas pendirian yang dizahirkan Premier Sarawak Abang Johari Openg berhubung RUU Akta Parlimen Penggal Tetap (FTPA) yang dicadangkan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi bagi menyekat penukaran kerajaan. Pengerusi GPS itu berkata, RUU sedemikian akan bercanggah dengan prinsip kebebasan memilih.

Sabtu lepas, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, RUU sedemikian penting kerana ia akan membolehkan kerajaan yang dipilih mentadbir negara tanpa ancaman musuh politiknya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagaimanapun kemudian berkata, FTPA bukan keutamaan kerajaan buat masa ini.

Mengulas tentang pendirian Abang Johari, felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, premier Sarawak itu tidak bimbang kehilangan kefleksibelan dalam menentukan pakatan politik, sebaliknya mengenai kesan jangka panjang undang-undang itu terhadap demokrasi.

“Ini kerana akta itu boleh dilihat sebagai menyekat peluang meminta kerajaan bertanggungjawab dan melaksanakan perubahan apabila perlu,” katanya kepada FMT.

Menurut Jeniri, undang-undang yang dicadangkan itu tidak akan menguntungkan mahupun merugikan GPS kerana gabungan itu sememangnya berperanan sebagai “kingmaker”.

Gesaan agar Parlimen berpenggal tetap timbul berikutan tiga pertukaran kerajaan sejak PRU14 pada 2018.

Pada Februari 2020, gerakan digelar Langkah Sheraton membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), berikutan tindakan beberapa Ahli Parlimen meninggalkan PKR dan Bersatu.

GPS menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semasa beliau membentuk kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN), kemudian Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang membentuk kerajaan baharu apabila Muhyiddin meletak jawatan pada Ogos 2021.


Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo