Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau. - Foto fail NSTP
Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) melahirkan kekecewaan dengan cadangan kerajaan untuk memansuhkan pencen bagi lantikan penjawat awam baharu berstatus tetap.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau dalam kenyataan di Facebook, menyifatkan keputusan itu adalah hala tuju yang salah daripada kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sebenarnya tindakan ini untuk menutup ketidakcekapan dan kegagalan beliau (Perdana Menteri) dalam mentadbir negara.

"Saya mengingatkan Anwar Ibrahim untuk tidak lupa pengorbanan dan kerja-keras kakitangan kerajaan yang menjaga rakyat serta negara daripada wabak COVID-19 terus merebak.

"Kerajaan Madani hari ini tidak seharusnya menyentuh kakitangan awam kerana mereka banyak menabur jasa dan juga barisan hadapan sekiranya negara mengalami krisis dari segi kesihatan atau ekonomi," katanya.

Dalam pada itu, Dominic berkata, pihaknya bersetuju dengan kenyataan CUEPACS yang menyatakan pencen perlu dikekalkan kerana gaji pokok kakitangan awam sangat rendah.

"Pada masa sama, GERAKAN menyokong untuk Madani menghapuskan pencen bagi Ahli Parlimen atau seumpamanya," katanya.

BH sebelum ini melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, satu pengumuman mengenai tempoh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Katanya, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, manakala penjawat awam baharu akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).