NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DPPNT membuat satu laporan polis berhubung kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Khoo Ham


KUALA TERENGGANU:
 Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) membuat satu laporan polis berhubung kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Khoo Ham yang menyarankan untuk melantik pakar bukan Islam membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN menggubal undang-undang syariah.

Menurut Ketua Penerangan DPPNT, Irsyad Syafiq, pandangan yang dikeluarkan pemimpin DAP itu disifatkan biadap dan menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum).

“Saya kira ianya satu kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan dan kenyataan ini sebenarnya menyentuh sensitiviti umat Islam dan bangsa Melayu.

“Jadi sebagai pemimpin dalam mana-mana parti politik, kita dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan ucapan.

“Sebenarnya ucapan ini juga telah pun mendapat respons daripada Sultan Selangor yang juga menasihati kepada mana-mana pemimpin yang cuba mengeluarkan kenyataan seperti ini supaya jangan masuk campur tentang urusan agama orang lain.

“Kita tahu agama Islam sebagai agama persekutuan dan orang Melayu adalah orang Islam dalam perlembagaan kita, maka sepatutnya sensitiviti itu tidak patut diganggu oleh mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas laporan dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Menurut Irsyad, laporan yang dibuat adalah satu bentuk berskala besar yang mana tiga buah negeri lagi akan turut menyertai bantahan itu.

Baru-baru ini, Koo Ham dilaporkan mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Katanya, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Irsyad berkata, DPPNT berharap pihak polis dan berwajib dapat menyiasat perkara ini kerana ia satu isu yang serius.

“Sebab yang pertama menyentuh sensitiviti umat Islam, yang kedua telah mendapat respons daripada Sultan Selangor jadi perkara ini satu perkara yang serius.

“Jadi sekiranya disabitkan kesalahan saya ingat kena buat sesuatu supaya perkara ini tidak dipandang ringan oleh mana-mana pemimpin,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/1/2023



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo