KUALA LUMPUR: Tekanan ekonomi dilalui rakyat biasa akan semakin hebat tahun ini apabila tidak sampai sebulan 2024 bermula, rakyat disajikan dengan aneka hadiah cukai baharu yang pelbagai.
Profesional Istiqamah dalam satu kenyataan baru-baru ini telah menyenaraikan cukai-cukai tersebut antaranya Cukai Barangan Bernilai Rendah (LVGT) dan Cukai Keuntungan Modal masing-masing setinggi 10 peratus.
Selain itu, peningkatan SST dari 6 kepada 8 peratus serta cukai 8 peratus untuk perubatan komplentari dan alternatif, selain cukai barang bernilai tinggi (HVGT) yang sebanyak 10 peratus.
“Tambahan pula, rakyat telah dibebankan lagi dengan peningkatan 5 peratus tarif elektrik bagi kumpulan M40 yang sedia ada tidak layak menerima banyak bantuan. Terbaharu, tarif air pula akan bertambah dengan purata 22 sen setiap meter padu bagi negeri Semenanjung Malaysia dan Labuan.
“Siri-siri pertambahan cukai dan tarif utiliti asas ini sudah pasti memberikan kesan kepada kuasa beli dan ekonomi rakyat. Politikus kerajaan tidak boleh menipu perkara ini. Walau apa jua alasan dan justifikasi yang diberikan, kerajaan perlu mengakui satu perkara.
“Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan dan Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi sedang mengalami kesukaran untuk menjana pendapatan tambahan kepada negara dan terpaksa menggunakan langkah mudah dan tidak kreatif iaitu memperkenalkan cukai-cukai baharu yang tidak efisien.
“Dalam keadaan kerajaan telah menambah hampir RM100 billion hutang negara sepanjang setahun mentadbir, sayangnya rakyat tidak dapat merasai apa pun daripada perbelanjaan besar ini,” ujar kenyataan itu.
Tambah mereka, segelintir ‘ekonomis PH’ pula berusaha menafikan realiti ketidakmampuan Madani mentadbir dan menggambarkan bahawa kaedah ekonomi Madani adalah berkonsepkan Robbin Hood, iaitu mengambil dari yang kaya dan memberikan semula kepada si miskin.
Namun bidas kenyataan tersebut, ini salah sama sekali memandangkan cukai untuk kumpulan ‘super’ kaya tidak dikutip pun bawah pentadbiran Madani antaranya Cukai Dividen Daripada Syarikat Tersenarai dan Tidak Tersenarai.
Selain itu, Cukai Keuntungan Modal; Cukai Harta Pusaka; Cukai Keuntungan Jualan Hartanah; Cukai Kekayaan dan Cukai Simpanan Korporat.
Sebaliknya menurut kenyataan itu lagi, kerajaan telah cuba mengecualikan cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai ke atas pendapatan luar negara (FSI) untuk unit amanah. Pengecualian cukai ini menguntungkan orang kaya!
“PAS menerusi Dokumen Hijau pernah mencadangkan langkah yang lebih seimbang dalam percukaian negara iaitu Cukai Saham dan Simpanan Korporat. Kaedah ini akan menjamin pendapatan yang lebih mapan dan seimbang kepada ekonomi negara dalam masa tidak membebankan rakyat pada peringkat paling bawah.
“Jika sewaktu menjadi pembangkang dahulu begitu mudah PH dan pemimpinnya menyalahkan kerajaan dan orang lain. PH tahu bahawa langkah memansuhkan GST telah menghilangkan hasil negara sebanyak 40 billion, namun mereka gagal membawa alternatif yang berkesan.
“Kini apabila mereka sendiri menjadi kerajaan, masalah menjadi semakin teruk, usaha pembaikian mereka pula tidak menyelesaikan masalah. Kerja buat Madani tak ubah seperti tikus cuba membaiki labu.
“Akhirnya yang menanggung semua beban adalah rakyat jelata, Rafizi dan Anwar pula kekal selesa mendabik dada,” bidas mereka. – HARAKAHDAILY 18/1/2024
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment