Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat pada Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Istana Negara, hari ini. Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat pada Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Istana Negara, hari ini. Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.

KUALA LUMPUR: Berikut ialah biodata rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim yang dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office).

Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor dan merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche' Besar Khalsom Abdullah.

PENDIDIKAN

Seri Paduka Baginda mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam di Johor Bahru sebelum memulakan pendidikan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1), juga di Johor Bahru.

Pada 1968 hingga 1970, Sultan Ibrahim melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Sydney, Australia sebelum meneruskan pelajaran menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) dari 1971 hingga 1975 serta mendapat pendidikan agama di Sekolah Agama Ayer Molek, Johor Bahru.

Bagi menjadi seorang raja yang berwibawa dan dihormati, Seri Paduka Baginda meneruskan pengajian di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat dan melengkapkan dua kursus - Southeast Asian Strategic Studies dan International Law of the Seas.

KETENTERAAN

Seri Paduka Baginda mula mendapat latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi, Johor dan kemudian mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat, serta menjalani latihan airborne dan ranger untuk pegawai infantri.

Semangat ketenteraan yang tinggi dan tertanam dalam jiwa Sultan Ibrahim, mendorong Seri Paduka Baginda meneruskan latihan American Special Forces dan Pathfinder, dan Sultan Ibrahim telah membuat 19 terjunan payung terjun, lapan daripadanya pada waktu malam.

Sultan Ibrahim kemudian dipilih dan ditauliahkan sayap, seterusnya mendapat pengiktirafan sebagai seorang komando selain turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara).

Sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Indonesia, Seri Paduka Baginda telah melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia.

Bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sultan Ibrahim telah menjalani latihan juruterbang helikopter dan dikurniakan serta menerima sayap pada 26 April 1982 daripada Almarhum Sultan Iskandar.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menjalani latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, sekali gus melengkapkan Seri Paduka Baginda sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara yang berkemahiran.

PERKHIDMATAN DENGAN KERAJAAN NEGERI

Sultan Ibrahim pernah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor dan ditempatkan di pelbagai jabatan bagi mempelajari aspek-aspek pengurusan serta pentadbiran negeri.

PELANTIKAN SEBAGAI TUNKU MAHKOTA JOHOR

Seri Paduka Baginda dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

PELANTIKAN SEBAGAI PEMANGKU RAJA JOHOR

Pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989, Seri Paduka Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Johor semasa Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.

ISTERI DAN ANAK-ANAK

Pada 22 September 1982, Seri Paduka Baginda mendirikan rumah tangga bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah dan dikurniakan lima putera dan seorang puteri iaitu Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

MINAT DAN HOBI

Sultan Ibrahim, yang juga kakanda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merupakan seorang yang meminati pelbagai jenis masakan dan pandai memasak.

Seri Paduka Baginda juga mempunyai banyak kemahiran, terutama dalam permotoran dan aktiviti air.

KEPERIBADIAN

Sifat Sultan Ibrahim yang suka mendekati rakyat mendorong Seri Paduka Baginda mengilhamkan program Kembara Mahkota Johor sejak menjadi Tunku Mahkota Johor lagi.

Ketika berlaku bencana terutama banjir, Seri Paduka Baginda juga antara yang terawal turun padang untuk melihat sendiri situasi sebenar, serta mengambil berat terhadap kesulitan yang melanda rakyat Johor.

Sultan Ibrahim turut lantang bersuara berkenaan isu-isu seperti kebersihan dan alam sekitar, dan sering menghulurkan bantuan kotak makanan dan kampit beras kepada golongan miskin kerana prihatin dengan peningkatan kos sara hidup yang meresahkan rakyat.

Dalam menyantuni rakyat jelata, Seri Paduka Baginda juga dilihat sering singgah di gerai dan kedai makan di setiap daerah di Johor.

Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa hari ini dan akan bersemayam selama lima tahun di Istana Negara.

MINAT KUMPUL TONGKAT

Sultan Ibrahim mempunyai pelbagai hobi unik antaranya mengumpul koleksi lebih 200 tongkat kayu pelbagai reka bentuk dan saiz.

Lebih menarik, semua tongkat yang dimiliki baginda itu dihasilkan pembuat tempatan dan mempunyai lambang khas 'SI' yang membawa maksud Sultan Ibrahim.

Tongkat yang berada dalam koleksi baginda diperbuat diperbuat daripada kayu cendana, giam, papan lantai kayu istana-istana lama serta kayu landasan kereta api.