NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bagaimana PM boleh hilang sokongan menurut Perlembagaan




‘HILANG
 kepercayaan’ adalah sebab seseorang Perdana Menteri perlu letak jawatan. Apa maksud ‘hilang kepercayaan’ di bawah Perlembagaan?

Seseorang Perdana Menteri yang telah hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat secara umumnya dianggap hilang kelayakan untuk terus jadi Perdana Menteri. 

Peruntukan Perlembagaan yang dirujuk ialah Perkara 43(4) iaitu:

“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.” 

Dalam situasi hilang kepercayaan, tidak disebut frasa ‘pada hemat Yang di-Pertuan Agong’.

Ketiadaan frasa ini tidak bermakna Yang di-Pertuan Agong tidak terlibat dalam penilaian hilang keyakinan ini, sebab tidak ada pihak lain yang layak membuat penilaian melainkan Yang di-Pertuan Agong.

Cuma tahap penilaiannya berbeza.

Bagi pelantikan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong berhak melantik seseorang yang Baginda rasakan mempunyai kepercayaan, walaupun tanpa petunjuk yang jelas. 

Keputusan Yang di-Pertuan Agong ini muktamad, dan tidak boleh dipertikai melalui mahkamah. Namun, Perdana Menteri yang dilantik itu tetap tertakluk kepada ujian keyakinan di Dewan Rakyat bila berlaku persidangan.

Menurut Dr Fathi Yusof, Pakar Perlembagaan dari UTM Kuala Lumpur, bagi menilai tahap kehilangan sokongan seorang Perdana Menteri, terdapat dua kaedah, iaitu:

Pertamanya, kaedah yang nyata iaitu melalui undi di Dewan Rakyat. Bagi kaedah pertama, Yang di-Pertuan Agong sewajarnya bertindak berdasarkan undi yang diputuskan di Dewan Rakyat.

Kedua, kaedah yang tidak nyata iaitu melalui cara-cara lain termasuklah sumpah berkanun (SD-statutory declaration), kenyataan media atau pengakuan terbuka melalui sidang akhbar atau sidang video. 

Bagi kaedah yang kedua ini, penilaiannya terletak kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang perlu mengambil segala cara yang perlu untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih. 

Antara cara yang boleh digunakan untuk menentukan ketepatan sesuatu maklumat ialah dengan mengadakan pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen yang terlibat. 

Selagi tiada maklumat yang sahih dan tepat, maka Yang di-Pertuan Agong berhak untuk berpegang kepada maklumat asal dan status quo yang sedia ada.

Selain itu, penilaian yang dibuat perlulah menyeluruh, bukan sahaja tertumpu kepada Ahli-ahli Parlimen yang membuat pengisytiharan. 

Kaedah ini perlu kerana terdapat kemungkinan perubahan sokongan seseorang atau sekumpulan Ahli Parlimen mendorong kepada peralihan sokongan individu atau kumpulan Ahli Parlimen yang lain. 

Oleh itu, sebarang ketetapan berkaitan kehilangan sokongan terhadap seseorang Perdana Menteri yang dizahirkan di luar Parlimen, tidak boleh dibuat secara terburu-buru.

Perlu diingat bahawa pernyataan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri sedia ada tidak perlu dibuat bersama-sama pernyataan memberikan sokongan kepada calon baharu untuk menjadi Perdana Menteri pengganti.

Jadi, terdapat kemungkinan seseorang Perdana Menteri hilang sokongan kepercayaan, tetapi tidak ada calon lain yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menggantikannya.

Sebagai kesimpulannya, ada dua kaedah untuk Perdana Menteri hilang sokongan iaitu menerusi undi dalam Dewan dan juga menerusi kaedah luar Dewan termasuklah melalui penggunaan SD.

Hal ini terus terpakai meskipun peruntukan berkenaan lompat parti digubal kerana menukar sokongan kepada Perdana Menteri bukan dikira lompat parti berdasarkan peristiwa 5 Ahli Parlimen PN yang bertindak menyokong Perdana Menteri ke-10 (PMX) namun masih boleh mengekalkan kerusi masing-masing.

Disunting dan diolah daripada penulisan Dr Muhammad Fathi Yusoff bertajuk: Beza Antara Hilang Kepercayaan & Mendapat Kepercayaan.

Moving Forward

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 9/1/2024


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo