KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim menasihatkan kerajaan agar jangan membuang masa dengan menggubal Akta Penggal Tetap Parlimen.
Menurut beliau, ia boleh menimbulkan masalah serta menyebabkan Kerajaan Perpaduan yang mempunyai banyak parti di bawahnya menjadi kucar-kacir.
Peguam terkemuka itu memberitahu, pelaksanaan akta tersebut di United Kingdom (UK) berkesan untuk menjamin kestabilan politik atas faktor kekuatan parti pemerintah.
“Di sini kita cuba memperkukuhkan parti tunggal yang lemah dengan kaedah penggal tetap.
“Ia seperti presiden parti yang mahu berkuasa tanpa melalui proses pemilihan. Ia adalah kestabilan yang dibuat-buat,” katanya dalam kenyataan melalui X hari ini.
Zaid mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Instusi), Datuk Seri Azalina Othman Said semalam bahawa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan menjalankan kajian mendalam bagi mendapatkan pandangan orang ramai mengenai akta tersebut.
Cadangan itu disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, langkah itu berupaya menjamin kestabilan negara berikutan kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.
Zaid menambah, gabungan politik di negara ini adalah besar dan poros di mana pergerakan ahli-ahli parti tidak dapat dikawal.
Beliau memberitahu, demorasi di negara ini memerlukan masa untuk mencapai kematangan dan mereka yang berkuasa tidak sepatutnya terlalu ghairah untuk memerintah pada tempoh yang lama dengan menggunakan kaedah buatan.
“Apabila anda bagus dan disukai oleh rakyat, anda akan mendapat penggal tetap. Tidak perlu gubal akta,” jelasnya.
Sehubungan itu, Zaid menasihatkan agar Azalina melakukan reformasi undang-undang yang sebenar seperti pemansuhan Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment