JOHOR BAHRU: Seorang akauntan syarikat hanya sempat merasa pulangan daripada pelaburan saham sebanyak RM2,000 sebelum menanggung kerugian lebih RM1.33 juta akibat diperdaya pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata mangsa berusia 42 tahun tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini pada semalam.
Katanya, lelaki itu mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan saham menerusi aplikasi Fidelity Max.
"Mangsa menyatakan pada Oktober tahun lalu, telah melihat iklan berkaitan pelaburan saham di laman sosial yang menjanjikan pulangan tinggi.
"Tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa berurusan dengan seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp yang memberikan penerangan lanjut mengenai pelaburan dalam pembelian saham syarikat dalam dan luar negara dengan keuntungan berlipat kali ganda.
"Mangsa juga dijanjikan akan mendapat keuntungan yang lebih tinggi sekiranya membuat pelaburan tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kumar berkata, mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan, memuat turun aplikasi Fidelity Max daripada 'Play Store' dan mendaftar di akaun tersebut yang berfungsi mengawal dan melihat keuntungan yang diperoleh.
Katanya, pengadu seterusnya telah membuat pembayaran ke beberapa akaun antara Oktober tahun lalu hingga Januari tahun ini berjumlah RM 1.34 juta.
"Mangsa memaklumkan semakan pada aplikasi tersebut menunjukkan keuntungan dalam pelaburannya dan mahu mengeluarkan wang terbabit.
"Namun begitu mangsa hanya dibayar RM2,000 sahaja. Manakala bakinya tidak boleh dikeluarkan atas pelbagai alasan, termasuk dikehendaki membuat sejumlah bayaran tertentu.
"Mangsa percaya dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis pada semalam," katanya.
Kes disiasat dibawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.
No comments
Post a Comment