NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Veteran Umno WP bantah gesaan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur



Veteran Umno Wilayah Persekutuan berpandangan tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur pada masa ini kerana struktur pentadbiran sedia ada sudah memadai.

Pengerusinya Mustapha Yaakub berkata justeru pihaknya kesal dengan kenyataan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai yang membuat gesaan itu.

"Kita sudah ada wakil rakyat yang dipilih rakyat dalam pilihan raya bagi mewakili kesemua kawasan parlimen dalam Kuala Lumpur. Kita ada ahli majlis yang dilantik mewakili semua kaum untuk membantu datuk bandar. 

"Jadi untuk apa perlukan pilihan raya lagi?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Tan yang juga ahli parlimen Cheras berkata pelaksanaan itu adalah usaha menegakkan demokrasi dan dapat menjadikan Kuala Lumpur sebuah ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus berkesan, bersih dan berpaksikan rakyat. 

"Kita tidak perlu meneruskan laksanakan pilihan raya PBT di seluruh negara, tetapi kita boleh bermula di Kuala Lumpur yang amat memerlukan demokrasi dalam proses pendemokrasian sistem pentadbiran ibu negara kita," katanya.

Mengulas lanjut, Mustapha malah menyifatkan gesaan itu sebagai "terbawa-bawa dengan idealisme lama" dan mendakwa ia berbaur perkauman.

"Veteran Umno faham hasrat DAP itu untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai PBT yang diwakili oleh ahli-ahli yang mewakili kaum Cina, khususnya DAP. Sudah pastinya kalau pilihan raya itu diadakan maka wakil-wakil masyarakat Cina akan menang mudah di kawasan majoriti mereka," dakwanya.

"Kami berharap kepimpinan baru DAP akan dapat membendung cara berfikir pengerusi DAP Kuala Lumpur. Jangan ada lagi sebarang usaha untuk membakar dan menyemarakkan rasa benci dan perkauman diantara parti-parti gabungan dalam kerajaan perpaduan," katanya lagi.

Mustapha turut berpandangan jika cadangan itu dilaksanakan, ia akan membawa kepada tuntutan sama di bandar-bandar lain seperti di Ipoh, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya PBT pada 1963 dan berdepan penggantungan pada tahun berikutnya.

Penggantungan itu, yang sepatutnya bersifat sementara, namun dikekal pada 1976 apabila Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan, yang memansuhkan pilihan raya PBT dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis.

Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PKR dan PAS sebelum ini berjanji untuk mengembalikan semula pilihan raya PBT semasa pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Namun manifesto pilihan PRU14 PH tidak berjanji untuk mengembalikan pilihan raya PBT tetapi menyatakan bahawa mereka akan "mengukuhkan demokrasi tempatan" dan menjadikan majlis tempatan lebih bertanggungjawab kepada rakyat setempat.

Ia juga berjanji untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mencerminkan aspirasi ini.

Namun begitu, Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad menolak permintaan untuk mengembalikan pilihan raya PBT, dengan alasan ia mungkin menimbulkan perbalahan kaum.


Sumber I Malaysiakini 




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo