NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tukar sokongan adalah hak demokratik parti politik

TUKAR SOKONGAN ADALAH HAK DEMOKRATIK PARTI POLITIK

1. Ada pihak yang menyebut bahawa parti dalam kerajaan mesti terus kekal dalam kerajaan dan tidak boleh memberikan sokongan untuk menubuhkan kerajaan baharu. Bahkan ada yang berpendapat bahawa kerajaan sekarang mesti dikekalkan dan sebarang usaha untuk mengubah kepimpinan kerajaan adalah satu bentuk penderhakaan (atau the act of treason) terhadap Yang Di-Pertuan Agong, dan perlu dikenakan hukuman keras. Benarkah begitu?

2. Tidak dinafikan bahawa seboleh-bolehnya kita mahukan kestabilan politik dan mengelakkan sebarang pergolakan yang boleh membantutkan tumpuan negara untuk membangunkan ekonomi dan membela nasib rakyat. Namun, hasrat ini tidak boleh menafikan hak demokratik yang dibenarkan oleh Perlembagaan untuk membuat perubahan dalam tampuk pemerintahan negara.

3. Perkara 43(4) menyebut bahawa “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.”

4. Peruntukan perlembagaan ini mengambilkira situasi seseorang Perdana Menteri yang “tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti” untuk berundur. Walau pun halangan lompat parti diperkenalkan melalui pindaan yang memasukkan Perkara 49A, namun pindaan itu tidak membatalkan Perkara 43(4). Tambahan pula jika perubahan sokongan itu melibatkan keputusan sesebuah parti politik, bukannya individu wakil rakyat, maka, tidak timbul sama sekali soal ‘lompat parti’.

5. Manakala, perubahan sokongan individu wakil rakyat pula masih boleh dijadikan perbahasan. Jika Perkara 49A benar-benar berkuatkuasa sepatutnya individu wakil rakyat tidak boleh menukar sokongan. Namun tidakan beberapa Ahli Parlimen dari Bersatu yang memberikan sokongan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, dan tidak ditafsirkan sebagai ‘lompat parti’ oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat telah menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan Perkara 49A bagi mengekang budaya lompat parti. Perkembangan ini sekaligus membuka ruang Ahli Parlimen kerajaan untuk menukar kepercayaan ‘tanpa mengisytiharkan keluar dari parti’, walau pun implikasinya mungkin berbeza. 

6. Jika berlaku perubahan sokongan di bawah Perkara 43(4), maka itu bukan satu penderhakaan kepada Yang Di-Pertuan Agong. Perlembagaan memberikan kuasa kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk melantik seorang Perdana Menteri yang pada hemat Baginda mungkin ‘mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat’. Perlembagaan juga membenarkan situasi seseorang Perdana Menteri “tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti”. Dalam mana-mana demokrasi berparlimen, amalan ini diterima sebagai satu bentuk hak demokratik. Jadi ia tentunya bukan satu penderhakaan kepada Yang Di-Pertuan Agong.

7. Menarik juga untuk bertanya, kenapa dalam sistem demokrasi berparlimen, seseorang Perdana Menteri tertakluk kepada situasi “tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti”? Kenapa tidak wujudkan sistem penggal tetap (fixed term) untuk seseorang Perdana Menteri supaya kerajaan lebih stabil dan teguh? Setiap sistem ada kebaikan dan keburukannya. Jika kita ingin menukar sistem sekarang kepada sistem ‘penggal tetap’, maka Perkara 43(4) perlu dimansuhkan melalui pindaan perlembagaan. Jika dipinda seseorang Perdana Menteri akan terus kekal berkuasa walaupun hilang sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

8. Namun buat masa ini, perlembagaan membenarkan perubahan tampuk kepimpinan negara melalui situasi seseorang Perdana Menteri “tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti”. Oleh itu, jika ada parti-parti politik dalam kerajaan merasakan bahawa mereka ingin membuat perubahan, maka terserah kepada kebijaksanaan mereka. Kita mengharapkan semua pihak yang terlibat membuat pertimbangan secara berhemah dengan mengambilkira kepentingan rakyat dan negara sebelum membuat apa-apa keputusan berkaitan soal ini. Semoga tahun baru 2024 memberikan sinar yang lebih baik kepada politik negara. 

Sumber | FB MFY

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo