KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, tidak mustahil untuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diangkat sebagai Perdana Menteri suatu masa nanti.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, ia selari dengan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang berkata gabungan tersebut tidak ketandusan pemimpin berwibawa.
“Ini bukan mimpi di siang hari tetapi Tok Li (Razali) nak khabar lebih awal, bahawa PN dan Pas mempunyai pemimpin berwawasan, akhlak terpuji, kompeten dan mesra kepada akar umbi.
“Tok Li selari dengan pandangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melihat Menteri Besar Terengganu ada kelayakan dan personaliti yang baik sebagai perdana menteri pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Samsuri adalah merupakan calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang akan berakhir esok dengan berdepan calon langsung Barisan Nasional (BN), Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam satu kempen pada 27 November lalu, Muhyiddin tidak menafikan Ahmad Samsuri adalah calon perdana menteri pada masa depan.
Menurutnya, pemilihan Menteri Besar Terengganu itu sebagai calon dalam PRK Kemaman adalah salah satu langkah strategik yang diambil dalam memberikan gambaran kepada rakyat bahawa PN tidak ketandusan pemimpin berwibawa.
Dalam pada itu, Razali turut menjangkakan Ahmad Samsuri akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti yang lebih besar.
“Terus kekalkan momentum ini dengan memberi kemenangan besar, kemenangan majoriti lebih 30,000 undi sebagai mesej bahawa rakyat tolak PMX,” katanya lagi.
PRK berkenaan diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment