PETALING JAYA: Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy mempersoalkan sikap kepimpinan DAP yang tidak bersuara mengenai gesaan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai agar pilihan raya kerajaan tempatan diadakan di Kuala Lumpur.
Menyebut tentangan terhadap cadangan Tan, termasuk daripada pemimpin Umno, Ramasamy menegaskan bahawa belum ada tokoh kanan DAP yang tampil menyokong ketua DAP Kuala Lumpur itu.
“Tidak kira apa yang difikirkan oleh nasionalis dalam Umno dan parti politik Melayu lain mengenai pilihan raya kerajaan tempatan, apa pendirian berprinsip kepimpinan DAP?” soalnya.
“Nasionalis Umno sudah pun membantah cadangan Tan. Adakah kepimpinan DAP sanggup memberikan sokongan politik kepada Tan? Apakah pendirian Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook?
“Atau adakah pemimpin DAP akan terlibat dalam politik beralah untuk menenangkan golongan nasionalis ultra Melayu dalam Umno? Adakah kepimpinan DAP akan menggunakan mantranya, ‘parti mempunyai cara tersendiri untuk tangani perbezaan pendapat’”
Menyatakan sokongannya terhadap cadangan Tan, Ramasamy berkata, pilihan raya kerajaan tempatan boleh diperkenalkan semula secara beransur-ansur.
Ramasamy, yang meninggalkan DAP pada Ogos dan seterusnya menubuhkan partinya sendiri menegaskan, pilihan raya sedemikian akan memberi manfaat kepada penduduk Kuala Lumpur kerana pegawai yang dipilih akan menjawab kepada orang ramai.
“Pilihan raya kerajaan tempatan ini bukan sesuatu yang baharu. Semestinya, seperti yang dicadangkan oleh Tan, paling tidak kita boleh fikir tentang idea itu,” katanya.
Terdahulu Tan menggesa Putrajaya untuk memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan di ibu negara untuk memperkukuh demokrasi, satu cadangan yang disifatkan oleh Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh sebagai “tidak sensitif dan provokatif”.
Cadangan itu turut dibantah Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang berkata, rakyat tidak seharusnya diheret ke dalam konflik politik tidak berkesudahan.
Awal hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau akan membincangkan cadangan itu dengan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Zaliha berkata, walaupun terdapat perkara yang lebih penting untuk ditangani, beliau tidak menolak kepentingan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan.
Awal tahun ini, Nga berkata, belum ada rancangan untuk memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan, yang digantung pada 1960-an dan digantikan dengan sistem ketua lantikan, di mana datuk bandar negeri dan presiden majlis perbandaran serta daerah dilantik oleh kerajaan negeri.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment