PETALING JAYA: Pemimpin pembangkang mendakwa “Langkah Dubai” yang digembar-gemburkan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) bertujuan menutup kegagalan kerajaan perpaduan menangani isu kenaikan kos sara hidup.
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata Perikatan Nasional (PN) tidak tahu mengenai “Langkah Dubai” dan ia tidak pernah berlaku.
Dakwanya, kerajaan sebenarnya cuba mengalihkan isu susulan kegagalan mengurus kos sara hidup semakin meningkat selain beberapa pelaksanaan dasar berkaitan cukai pada tahun depan.
“J-Kom sebagai balaci buat begitu. PN tidak ada maklumat berkenaan perkara itu,” kata Ahli Parlimen Machang itu kepada FMT.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah J-Kom Ismail Yusop hari ini mendakwa “Langkah Dubai” timbul sewaktu percutian pemimpin PN, termasuk pihak kerajaan, di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini yang berusaha menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Beliau mendakwa ia turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh yang berpangkat Tun menggunakan dana asing.
Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari turut menafikan dakwaan itu kerana jelas terdapat Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong Anwar.
“Tidak ada bincang (Langkah Dubai), siapa (pun) tak tahu. PN merujuk kepada siapa, yang saya tahu empat ahli Parlimen PN dah isytihar sokong perdana menteri, tidak tahu siapa dalangnya,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu yang tiada maklumat mengenainya kerana sibuk membantu mangsa banjir di kawasan Parlimennya.
Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris menafikan ada gerakan sedemikian dirancang sambil menyifatkan ia “cerita bodoh” kerana Anwar sudah memiliki sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
“Kenapa PMX takut sangat, dia dah ada (sokongan) lebih 150 Ahli Parlimen, kenapa nk takut? Tidak perlu buat cerita bodoh, saya peliklah kenapa kotor sangat kepala, saya sendiri tak tahu,” katanya merujuk Anwar sebagai perdana menteri ke-10.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment