NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Semangat BN kian pudar, komponen BN sudah lama tidak bincang ‘semeja’



PETALING JAYA: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman menyaksikan rentetan trend penolakan rakyat terhadap Baraisan Nasional (BN) rakyat menimbulkan persoalan sama ada gabungan itu masih lagi laku dan relevan dalam kalangan rakyat atau sebaliknya. 

Biarpun kerusi yang dipertandingkan itu dikatakan kubu kuat Pas serta tidak mengancam kedudukan politik negara, namun ia satu isyarat cukup kuat kepada kepimpinan BN. 

Penganalisis juga menjangkakan sekiranya trend penolakan itu terus berterusan, maka masa depan BN khususnya UMNO yang sudah malap akan semakin malap. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuanberkata, tidak dinafikan Kemaman merupakan kubu Pas serta rekod prestasi calonnya yang memberi kelebihan berbanding calon BN. 

Bagaimanapun, katanya, BN perlu segera bermuhasabah sendiri kerana perlu sedar yang pencapaian gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini juga tidak memberangsangkan. 

“Bukan 100 peratus (BN tidak laku dan tidak relevan), tetapi ini satu signal cukup kuat kepada pucuk pimpinan apa hala tuju kita terutamanya apabila berdepan pilihan raya umum nanti. Adakah akan terus kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya?. 

“Boleh katakan kubu kuat Pas, tetapi kalau lihat PRN enam negeri, keputusan kita pun tidak begitu memberangsangkan. 

“Jadi, isu, punca pokok dari mana? Kenapa rakyat tidak yakin dan merasakan UMNO bukan pilihan utama mereka? Adakah merasakan Kerajaan Perpaduan bukan pilihan mereka atau rasakan UMNO tidak patut kerjasama dengan DAP atau rasakan pemimpin utama UMNO ada masalah tidak boleh diterima rakyat?,” soalnya ketika dihubungi, semalam. 

Pas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti besar, 37,220 undi. 

Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memperoleh 64,998 undi berbanding calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang sekadar mendapat 27,778 undi. 

Majoriti yang diperoleh Menteri Besar Terengganu itu lebih tinggi berbanding majoriti yang diperoleh penyandang kerusi itu, Che Alias Abd. Hamid (27,179 undi) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas. 

PRU15 menyaksikan Che Alias menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin yang mendapat 8,340 undi manakala calon Pejuang, Rosli Ab Ghani hanya memperoleh 506 undian.

Mengulas lanjut, Mike Chong berkata, BN juga disaran untuk mengenal pasti isu utama yang membelenggu gabungan itu sehingga tidak mendapat sokongan rakyat. 

“Adakah kita diantara parti komponen BN sudah duduk semeja untuk melakukan forensik atau cari sebab serta faktor (penolakan rakyat) Semenjak PRN temoph hari, kita tidak pernah duduk semeja bincangkan yang sebenarnya berlaku. 

“Jadi semangat BN ada di mana? Mungkin merasakan MIC dan MCA tidak relevan sebab tidak ambil bahagian dalam PRN, tetapi kita satu pasukan kena duduk sekali.

“Kalau lihat gerak kerja di peringkat akar umbi sama ada di Bahagian, Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN)..boleh katakan tidak seerat dulu. 

“Jadi, apakah mereka lebih rela kerjasama dengan kawan baharu dalam PH berbanding dengan rakan-rakan lama dalam BN? Perkara ini perlu penjelasan daripada pucuk pimpinan BN,” katanya. 

Sementara itu, penganalisis politik, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, peningkatan jumlah majoriti undi itu bukan sahaja membuktikan UMNO ditolak rakyat, tetapi berkemungkinan ditolak oleh ahli dan penyokong setia parti itu. 

Oleh itu, katanya, trend sokongan orang Melayu khususnya di Parlimen Kemaman jelas membuktikan mereka bukan sahaja tidak senang hati dengan kerjasama UMNO dan PH, tetapi senang dengan calon ditampilkan Pas. 

“Selagi tidak ada perubahan kepemimpinan dan reformasi yang betul-betul dapat menambat atau yakinkan rakyat khususnya orang Melayu, maka selagi itu BN dan UMNO akan ditolak rakyat terutamanya di Pantai Timur dan ia boleh merebak. 

“Ini isyarat yang cukup jelas kepada kepimpinan UMNO sebab calon yang ditampilkan itu bukan calang-calang dan kalau tidak menang, sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti, tetapi tidak berlaku. 

“Jadi ini satu pukulan hebat kepada UMNO khususnya. Satu berita buruk bagaimana UMNO dapat melangkah kehadapan. Kalau trend ini terus berlaku dan tidak ada reformasi yang jelas, masa depan umno sudah malap makin malap,” katanya. –UTUSAN





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo