Projek Perumahan Generasi Baharu Felda itu dibina di kawasan seluas 28.5 ekar di Felda Kerteh 5 sejak lebih lima tahun lepas, melibatkan kira-kira 200 unit.
Projek terbabit yang terletak di laluan utama di Felda Kerteh 5 berhampiran ladang kelapa sawit dijadualkan siap pada Oktober 2021. Harganya difahamkan sekitar RM90,000 seunit.
Namun, malangnya sehingga sekarang projek tersebut tidak siap sepenuhnya biarpun struktur bumbung dan dinding siap sepenuhnya.
Dan setiap kali pilihan raya berlangsung projek itu menjadi umpan kempen bagi Umno bagi menarik sokongan generasi baharu Felda.
Mantan Jawatankuasa Pembanguan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Kerteh 6, Sulaiman Mamat, 68, berkata, projek perumahan terbabit gagal disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan sebelum ini.
Katanya, rumah tersebut dikhususkan untuk anak-anak peneroka bagi membolehkan mereka memiliki kediaman sendiri selepas berkeluarga.
“Peneroka tidak boleh memohon rumah terbabit kerana ia dikhaskan untuk generasi baharu Felda. Memang diletakkan syarat permohonan hanya anak-anak peneroka sahaja.
“Namun disyaratkan juga generasi baharu perlu ada slip pendapatan bagi melayakkan membuat pinjaman dengan institusi kewangan,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya syarat tersebut tentunya membebankan anak-anak peneroka yang bekerja sendiri.
Norazuliyati Mohd Sidi, 35 berkata, Felda dan kerajaan Pusat sepatutnya mempermudahkan syarat generasi kedua untuk memiliki rumah tersebut.
Kata beliau matlamat kerajaan untuk membolehkan generasi kedua memiliki rumah sendiri belum menjadi kenyataan memandangkan projek tersebut terbengkalai sehingga sekarang.
“Pada kempen Pilihan Raya Kecil kali ini tidak lagi kedengaran Umno menggunakan isu tersebut untuk memancing undi generasi muda Felda.
“Sebelum ini ada nama-nama pemohon disenaraikan, namun sekarang tidak kedengaran sebarang perkembangan lanjut,” ujarnya.
Beliau juga berkata, projek rumah generasi baharu tidak sepatutnya diagih berdasar jalur politik kerana ia boleh menggagalkan hasrat kerajaan bagi membantu generai muda memiliki rumah sendiri. – HARAKAHDAILY 1/12/2023
No comments
Post a Comment