NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rombakan Kabinet bukti kerajaan gagal bendung krisis ekonomi – Shahir



KUALA LUMPUR – Rombakan Kabinet yang diumumkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini  membuktikan, Kerajaan Madani gagal membendung krisis ekonomi.

Ini kerana dakwanya kerajaan sebelum ini memiliki Menteri Kewangan yang tidak dapat menumpukan perhatian dalam membawa negara keluar daripada krisis kewangan.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, akibatnya jawatan menteri  kedua diwujudkan dengan mengambil tokoh korporat untuk membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

“Persoalannya, apakah peranan Menteri Kewangan I? Adakah sekadar mendapat gaji dan elaun serta membaca teks belanjawan sekali setahun…ini adalah satu pembaziran duit rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, mewujudkan Kementerian Digital selari dengan kehendak semasa namun dalam masa sama membuktikan ketidakupayaan menteri sebelum ini mengemudi kementerian berkenaan sehingga ia perlu dipecahkan kepada dua.

Ujarnya, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo  pernah menjawat jawatan sama ketika era pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan selepas PRU-14.

“Ini juga satu pembaziran duit rakyat dek kerana mahu menyimpan Menteri Komunikasi kerana faktor politik PKR.

“Kementerian yang dikepalai oleh Nik Nazmi (Nik Ahmad) dipecahkan lagi. Kesudahannya, kementerian tersebut bakal disusun balik dari pengurusan tertinggi, (dari) ketua setiausaha hinggalah kepada pengarah-pengarah agensi-agensi berkaitan.

“Pejabat, logo kementerian, surat, dan pelbagai lagi akan bertukar. Keadaan sebegini semestinya membawa kepada peningkatan kos yang membabitkan duit rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shahir berkata, kehadiran semula Datuk Seri Johani Ghani dan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menunjukkan Kerajaan Madani memerlukan menteri yang mempunyai pengalaman dalam kerajaan.

“Semoga kehadiran mereka dapat membawa perubahan ke arah yang lebih baik untuk negara kita, Malaysia,” katanya.

Terdahulu dalam kenyataan sama, Shahir berkata, daripada sudut statistik, jumlah menteri dalam rombakan baharu Kerajaan Madani hari ini meningkat daripada 28 kepada 31 orang.

Katanya, jumlah timbalan menteri juga meningkat daripada 27 orang kepada 29 orang dan secara keseluruhannya, jumlah Kabinet meningkat daripada 55 orang kepada 60 orang.

“Ini disebabkan dua kementerian baharu diwujudkan iaitu Kementerian Digital dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta tambahan jawatan Menteri Kewangan II,” katanya. – MalaysiaGazette





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo