NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Projek tebatan banjir dilengah kerajaan Madani




KUALA LUMPUR: 
Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang seperti dilengah-lengah kerajaan Pusat sehingga ia memberi kesan kepada penduduk di musim tengkujuh.

Sekurang-kurangnya 10 kampung di Rantau Panjang masih ditenggelam banjir termenung sejak sebulan. Kampung terbabit termasuk Kampung Kusar, Padang Licin, Kampung Luar dan Tasek Bakong.

Lebih parah lagi kampung yang tidak pernah berlaku banjir sebelum ini tenggelam pada musim tengkujuh.

Tiga tahun lalu kerajaan mengumumkan pelaksanaan projek tersebut melalui tender rundingan terus bagi mempercepatkan pembinaan benteng banjir untuk menyelamatkan harta benda penduduk.

Namun selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri pada 22 November 2022, projek PLSB dihentikan dan digantikan dengan rundingan terhad.

Mengulas perkembangan itu Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebelum ini kerajaan menangguh PLSB kononnya mahu memperbetulkan semula pemberian tender projek tersebut.

Katanya selepas lama terhenti kerajaan baharu hendak memulakan semula projek terbabit.

“Kerajaan Madani sengaja hendak cari salahlaku kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkaitan projek tersebut, namun tiada isu yang ditemui.

“Kerajaan jangan keterlaluan ‘bermain politik’ dalam isu tersebut kerana ia perlu dipercepatkan memandangkan setiap kali musim tengkujuh kawasan rendah sering berlaku banjir,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat selepas majlis perjumpaan mahabbah dengan kakitangan Galeri Media Serbaneka Bhd, di sini hari ini.

Pada Ogos lepas Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilapor berkata, pelantikan kontraktor projek PLSB Sungai Golok Fasa 2 dan 3 dijangka dibuat pada November lepas.

Projek PLSB Sungai Golok Fasa 2 dan 3 merupakan projek jangka panjang pembinaan infrastruktur perlindungan banjir di kawasan lembangan Sungai Golok.

Isnin lepas penduduk Kampung Teresang dan Bendang Perol berhimpun bagi mendesak pihak berkaitan membuka laluan keluar air di projek tersebut.

Ahli Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang, Mohd Arifin Ismail berkata, banjir yang melanda sekarang menenggelamkan 56 rumah penduduk di Kampung Teresang dan Bendang Perol.

Malah katanya ada penduduk terpaksa tinggal hampir sebulan di pusat pemindahan sementara kerana banjir lambat surut.

Ahmad Fadhli berharap kerajaan telus projek pembinaan PLSB kerana segala dakwaan mengenai penyelewengan kerajaan PN gagal dibuktikan sehingga sekarang.

“Ini menyebabkan fasa dua tidak dapat diteruskan seperti dirancang. Selagi projek itu tidak siap selagi itulah kampung terancam dengan banjir,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/12/2023






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo