Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang kerusi Parlimen Kemaman setelah keputusan rasmi diumumkan di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman malam tadi. - foto BERNAMA
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang kerusi Parlimen Kemaman setelah keputusan rasmi diumumkan di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman malam tadi. - foto BERNAMA

CHUKAI: Kemenangan besar PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman boleh ditafsirkan sebagai 'isyarat' pengundi menolak parti kerajaan.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar apabila ditanya perkara itu tidak mahu mengulas lanjut kerana semua pihak boleh membuat tafsiran sendiri berdasarkan keputusan pengundian.

"Kita boleh tafsirkan begitu (tetapi) saya tak nak pergi lebih jauh lagilah tapi semua pihak boleh buat apa jua tafsiran.

"(Saya) tak tolak kemungkinan itu salah satu sebab (dan) mungkin kalau kita buat senarai bermacam-macam perkara yang timbul," katanya ditemui selepas diumumkan sebagai Ahli Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman malam tadi.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata kemenangan besar pada PRK itu menyuntik sokongan moral dan kepercayaan pengundi di Parlimen Kemaman.

Katanya, walaupun peratusan keluar mengundi tidak mencapai sasaran, pihaknya berpuas hati kerana mendapat majoriti yang lebih tinggi.

"Kita menjangkakan (peratusan) keluar mengundi itu sekitar 72 hingga 74 peratus, jadi walaupun kita tidak mencapai sasaran atas pelbagai sebab tapi Alhamdulillah daripada segi peratus yang diterima oleh parti lebih daripada jangkauan asal kita," katanya.

Ketika ditanya fokusnya selepas memenangi kerusi berkenaan, Ahmad Samsuri berkata, tumpuan kini bukan sahaja tertumpu pada parlimen itu tetapi seluruh Terengganu.

"Insya-Allah, ada perkara yang berkait bukan sahaja dengan Parlimen Kemaman tapi dengan negeri Terengganu sendiri dan bagaimana sedikit sebanyak saya boleh bantu dengan ahli parlimen lain untuk kesejahteraan negara Malaysia, insya-Allah," katanya.

Ahmad Samsuri menang pada PRK Parlimen Kemaman selepas memperoleh 64,998 undi iaitu dengan majoriti 37,220 undi.

Beliau menewaskan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang memperoleh 27,778

Jumlah undi yang diterima dalam PRK Kemaman semalam ialah 92,776 atau bersamaan 65.76 peratus daripada keseluruhan 141,790 pengundi berdaftar.


Sumber | Bharian