NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Presiden cabar Isham Jalil hadiri mesyuarat MKT Umno



Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mencabar ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil, supaya menghadiri mesyuarat parti itu malam ini.

Katanya, ini selepas sudah tiga kali Isham tidak menghadirinya.

“Saya harap malam ini Isham datang mesyuarat MKT. Kalau ada pendapat lain beliau boleh suarakan. Setakat ini, beliau tak datang mesyuarat MKT sebanyak tiga kali.

“Mudah-mudahan beliau (Isham) mempunyai keberanian untuk datang malam ini untuk suarakan pendapatnya itu,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis penyerahan sumbangan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Putrajaya, hari ini.


Presiden Umno itu merujuk kenyataan Isham yang sebelum ini menyifatkan kekalahan calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman berpunca daripada pemimpin parti itu yang didakwa terlalu mempertahankan DAP.


Isham mendakwa ada segelintir pemimpin Umno bertindak “lebih DAP daripada DAP”, dengan mempromosikan parti cauvinis itu secara berlebihan sehingga menimbulkan kurang senang dalam kalangan akar umbi.

Malah, dakwanya Umno terus menerima penolakan orang Melayu kerana parti yang seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam, sudah tersasar dan rela menjadi ‘barua DAP.


Tak akan datang mesyuarat selagi Zahid presiden


Sementara itu, Isham dalam satu hantaran di Facebook, berkata dia tetap tidak akan menghadiri mesyuarat MKT Umno malam ini sebagai bantahan.

“Saya sudah kata sebelum ini yang saya kekal dengan pendirian saya untuk protes dan selagi dia membuat keputusan untuk pergi pilihan raya dengan DAP saya akan protes dan tidak akan hadir mesyuarat yang dia pengerusikan dan dia veto keputusannya.

“Ini penggal kedua saya dalam Majlis Tertinggi, saya sudah boleh baca apa yang dia akan buat dalam mesyuarat. Buat apa saya ikut kemahuan dia dan datang tadah muka di lubuknya,” katanya

Isham dalam hantarannya membuat cabaran kepada Zahid untuk berdebat dengannya.

“Kalau dia ikhlas, mungkin presiden boleh tunaikan cabarannya untuk berdebat dengan saya sebelum ini, di gelanggang yang neutral.

“Kalau dia berani,” cabarnya.


Isham turut mengulangi kenyataannya bahawa bahawa ramai orang Melayu kini menolak Umno oleh kerana keputusan bekersama dengan DAP.

“Jika keadaan ini berterusan, Umno akan hancur dalam beberapa tahun lagi,” katanya.

Dia seterusnya mencabar Zahid meletak jawatan, dan berkata dirinya juga akan menyusuli.

“Kita sama-sama berkorban asalkan parti keramat ini dapat diselamatkan selagi ada masa,” katanya.


Sumber I Malaysiakini 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo