NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PM, kami mahu menteri fasih berbahasa Tamil – Saravanan



KUALA LUMPUR – Ketiadaan seorang pun menteri yang fasih berbahasa Tamil dalam rombakan Kabinet baru-baru ini mendapat reaksi Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar Malaysia (DHRRA Malaysia).

Presiden DHRRA Malaysia, Saravanan M. Sinapan berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam senarai jemaah menteri mengecewakan pihaknya.

Katanya, komunitinya tidak mempersoalkan tentang pelantikan pemimpin DAP, Gobind Singh Deo sebagai menteri penuh dalam kerana beliau juga mewakili komuniti India.

“Namun apa yang menjadi keluhan dan persoalan komuniti India adalah kenapa tiada pelantikan menteri daripada seseorang pemimpin yang berpengetahuan dan fasih Tamil.

“Sejak 1955, Kabinet kerajaan Malaysia dianggotai seorang menteri fasih berbahasa Tamil yang mewakili keperluan dan suara komuniti India mengikut arus peredaran masa demi pembangunan mereka tetapi kali ini mencipta sejarah apabila Kabinet tidak dianggotai oleh seorang pemimpin pun dalam kalangan masyarakat India yang fasih berkomunikasi dalam bahasa Tamil.

“Kita tidak mempersoalkan kebijaksanaan dan keputusan Anwar tetapi apakah justifikasi ketiadaan pelantikan seorang pemimpin berfasih Tamil dalam Kabinet Kerajaan Madani?

“Apakah dalam parti PKR ketandusan pemimpin India berprofesional, berkaliber yang fasih atau bakat bahasa Tamil?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Soal Saravanan, dalam PKR, beberapa pemimpin sedia ada antaranya Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan dan K. Saraswathy yang ditawarkan senator dan dilantik sebagai timbalan menteri namun kenapa tidak dipertimbangkan seorang pemimpin yang fasih bahasa Tamil.

Katanya,  komuniti India masih terkilan dengan keputusan yang diambil Anwar dan merasakan suara mereka seolah dianaktirikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam kerajaan.

Justeru Saravanan berharap Perdana Menteri sedar masyarakat India memberikan komitmen dan sokongan padu dengan memenangkan PH dengan sokongan 85 peratus undi dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap pemimpin parti yang mewakili komuniti India untuk membawa tuntutan masyarakat mereka kepada perhatian Perdana Menteri.

“Malah kami mendapati mereka (pemimpin sedia ada) belum ada kematangan untuk sedar mereka mempunyai tanggungjawab membawa tuntutan komuniti India sebaliknya menganggap komuniti kita perlu menerima apa jua yang diputuskan oleh pimpinan kita,” katanya.

Selain itu, masyarakat India juga tidak salah untuk menuntut seorang menteri penuh kerana 85 peratus telah menyatakan sokongan undi mereka kepada PH dalam PRU lalu.

Dalam rombakan kabinet yang baru, Saraswathy dilantik sebagai timbalan Menteri Perpaduan sementara Ramanan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda MIC Wilayah Persekutuan, S Arumugam mengecam kenyataan Saraswathy dan Ramanan yang mempertahankan keputusan Perdana Menteri tidak melantik seorang pemimpin yang fasih Tamil sebagai menteri penuh.

“Saya kecewa dengan kedua-dua pemimpin ini mempertahankan dan memberi kenyataan seolah-olah ketiadaan pemimpin etnik Tamil dalam jemaah menteri bukan satu isu yang besar.

“Jangan lupa. Kamu adalah wakil masyarakat India dalam kerajaan. Bukan jurucakap pejabat perdana menteri,” katanya baru-baru ini. – MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo