PETALING JAYA: Orang Melayu harus mengambil pengajaran daripada perpecahan negara-negara Arab sehingga mereka tidak mampu melakukan apa-apa untuk menghalang kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin, kata bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, Israel hanya negara kecil yang mempunyai tidak sampai 10 juta rakyat, dikelilingi 23 negara Arab dengan lebih 400 juta penduduk, tetapi hanya mampu melihat saudara sebangsa dan seagama disembelih.
“Paling menyedihkan, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hanya sekadar mengeluarkan kenyataan mengutuk Israel tanpa sebarang cadangan praktikal untuk menghentikan kekejaman ini.
“Malah, hendak mengeluarkan kenyataan mengutuk kekejaman yang amat dahsyat dalam sejarah dunia moden hari ini pun mereka berbalah sesama sendiri,” katanya dalam satu rencana terbitan Utusan Malaysia.
Katanya, perkara sama akan berlaku di negara ini jika orang Melayu dan bumiputera terus berpecah. Masyarakat pribumi membentuk 70% daripada jumlah penduduk tetapi berpecah teruk kerana tiada kesepakatan, perselisihan dan berbeza ideologi.
“Jika dihitung jumlah kerusi Ahli Parlimen Melayu dan bumiputera di Dewan Rakyat melebihi majoriti dua pertiga, 93 di sebelah kerajaan dan 73 kerusi di blok pembangkang.
“Bagaimanapun, komposisi dalam Dewan Rakyat sahaja tidak memberikan sebarang makna kerana orang Melayu dan bumiputera berpecah kepada terlalu banyak parti dan ideologi,” katanya.
Ismail berkata, kerana perpecahan orang Melayu ada pihak mula mengambil kesempatan dengan menuntut perkara tidak sepatutnya dan yang telah diterima sebagai sebahagian daripada amalan di negara ini.
“Maka timbul polemik bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri. Walaupun tidak bertentangan dengan perlembagaan, namun perbincangan tentangnya tidak pernah berlaku secara terbuka.
“Terbaru, DAP semakin biadap mencampuri urusan agama Islam dan Majlis Raja Raja Melayu apabila seorang pemimpinnya menuntut wakil bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah,” katanya.
Ismail berkata, sebelum ini tiada siapa pun berani membangkitkan hal-hal tersebut secara terbuka kerana orang Melayu kuat serta bersatu di bawah satu suara.
“Pemimpin-pemimpin Melayu harus duduk semeja berbincang untuk mencari titik persamaan supaya perpecahan ini dapat bertaut kembali.
“Jika orang Melayu tidak segera bersatu, suatu ketika nanti kita menjadi seperti orang Arab yang hanya mampu melihat saudara sebangsa dan seagama disembelih kerana tidak boleh berbuat apa-apa berikutan tiada kuasa,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment