SHAH ALAM - Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican konsisten dengan pendiriannya sebelum ini bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ini kerana katanya, pilihan raya berkenaan bukan satu keperluan dan keutamaan kerana demokrasi di Malaysia tetap berjalan baik.
Sebalik beliau menegaskan, apa yang perlu menjadi keutamaan kini ialah memperkemaskan khidmat PBT dalam memenuhi keperluan dan kehendak rakyat khususnya dalam meningkatkan daya huni serta merancakkan pelbagai aktiviti sosioekonomi.
"Adalah lebih mustahak pada hari ini, untuk memastikan bahawa fungsi PBT ini boleh dipenuhi dan dilaksanakan dengan baik.
"Prestasi PBT adalah hal yang paling mustahak dan memberi impak langsung kepada rakyat, bukanlah kaedah pemilihan mahupun lantikan terhadap ahli pentadbirannya.
"Kerana itulah di Malaysia ini, banyak sahaja kerajaan-kerajaan tempatan yang cemerlang dan dapat membantu kerajaan negeri membangunkan kawasan bandar mereka menjadi bandar yang selesa dan berdaya huni," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Pada Ahad lalu, Ahli Parlimen Cheras mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya PBT di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurutnya, pengenalan pilihan raya itu di ibu negara bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.
Cadangan wakil rakyat DAP itu kemudiannya mendapat reaksi pelbagai pihak dengan kebanyakannya menolak pandangan berkenaan.
Bagaimanapun ujar Reezal Merican, dalam konteks perbahasan sains politik, cadangan yang dibangkitkan Kok Wai bukan sesuatu yang salah.
Cadangan itu sebaliknya mencerminkan idealisme dalam menggambarkan keadaan demokrasi yang lebih baik.
"Persoalannya sekarang, dalam konteks realiti, adakah ianya perlu? Adakah selama ini demokrasi tidak subur? Adakah amalan sedia ada ini tidak menggambarkan kesuburan demokrasi?
"Adakah amalan pemilihan dan pelantikan, bukan amalan demokrasi? Pastinya panjang perdebatan dari aspek falsafah jika kita ingin bincangkan namun saya lebih suka jika kita lihat dalam kaca mata realiti semasa," katanya.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment