ISTANBUL: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberikan amaran bahawa situasi teruk sedang dihadapi sektor kesihatan di Gaza adalah tidak dapat dibayangkan.
"Laporan pertempuran dan pengeboman berterusan di Gaza amat mengerikan.
"Semalam, pasukan kami melawat Hospital Perubatan Nassar di selatan (Gaza). Ia dipenuhi 1,000 pesakit – tiga kali ganda melebihi kapasitinya," kata Tedros melalui X, hari ini, lapor Agensi Anadolu.
Beliau berkata, hospital itu juga dilimpahi orang awam yang mencari perlindungan dengan memenuhi segenap penjuru fasiliti berkenaan, malah ada pesakit terpaksa menerima rawatan di atas lantai.
"Saya tidak dapat mencari perkataan sesuai untuk menyatakan kebimbangan kami terhadap apa yang disaksikan itu," katanya.
Tedros sekali gus mengulangi gesaannya supaya gencatan senjata terus dilaksanakan.
Tentera Israel meneruskan pengeboman ke atas Semenanjung Gaza, kelmarin, selepas mengumumkan jeda kemanusiaan selama seminggu tamat. – BERNAMA-ANADOLU
No comments
Post a Comment