KUALA LUMPUR – Tindakan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa UMNO menjadi ‘alas duduk’ DAP disifatkan sebagai satu percubaan memanaskan hubungan kedua-dua parti itu yang kini bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi memulangkan tuduhan itu dengan mendakwa parti Pas pula telah menjadikan Islam sebagai ‘alas kaki’ kerana parti itu ‘naik tocang’ selepas menang banyak kerusi dalam pilihan raya.
“UMNO bukan Pas yang puji DAP melangit waktu bersekongkol dulu. Lim Guan Eng disamakan seperti Khalifah Umar Abd Aziz.
“Afnan Hamimi juga kata DAP naik tocang. Sebenarnya Pas yang naik tocang bila menang banyak kerusi berbanding UMNO dan Bersatu.
“Pas semakin ganas keluar fatwa politik yang memecahkan belahkan orang Melayu. Ajaran Islam wajibkan bayar hutang tetapi Pas liat bayar hutang Harakah. Pas jadikan Islam ‘alas kaki’ kerana naik tocang,” kata Mohd. Puad.
Mereka menjadikan kerjasama UMNO dan DAP sebagai fokus untuk melemahkan Kerajaan Perpaduan.
Justeru pemimpin pembangkang akan menjadikan apa sahaja kenyataan pemimpin atau ahli DAP yang kontroversi untuk dieksploitasi.
“Kenyataan itu ada kalanya bersifat peribadi. Ia hanya cadangan. Belum pasti dilaksana. Perlu dipersetujui oleh Kabinet.
“UMNO tidak akan setuju jika tidak sesuai dengan dasar UMNO. Sebab itu ada hikmahnya UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO benteng jaga kepentingan Melayu, Islam dan Raja Raja Melayu dalam Kerajaan Perpaduan hari ini. UMNO tidak jadikan agama kuda tunggangan macam Pas,” tegas Mohd. Puad.
Dalam artikel yang disiarkan di portal Harakahdaily, Afnan Hamimi percaya tidak semua ahli dan pemimpin UMNO bersedia menjadi ‘alas duduk’ kepada DAP dan Pakatan Harapan.
Ini selepas pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya.
“Keadaan ini memberi isyarat bahawa DAP semakin hampir dengan matlamat mereka setelah berjaya menapak secara perlahan-lahan selama ini agar tidak didengari.
“Kemudian, semakin menapak laju dengan UMNO bawah (Datuk Seri Ahmad) Zahid menjadi tongkat di peringkat permulaan dan kini bertukar menjadi tangga sehingga derapannya semakin kedengaran,” kata Afnan Hamimi.
Menurut beliau, UMNO perlu menamatkan langkah DAP atau UMNO akan terpahat dalam sejarah Melayu sebagai alas kaki DAP pada penghujung usianya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment