KUANTAN – Ketua Pembangkang Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kecewa kepada pimpinan kerajaan negeri yang didakwa tidak mengagihkan peruntukan sama rata kepada wakil rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah telah bertitah agar kerajaan negeri memberikan peruntukan adil kepada wakil rakyat pembangkang pada Mei lalu.
Lebih menghairankan, katanya, apabila negeri lain seperti Kedah, Kelantan, Perak boleh melaksanakan pemberian peruntukan kepada pembangkang secara sama rata tetapi ia tidak berlaku di negeri itu.
“Kalau kerajaan Kedah boleh bagi, Kelantan boleh bagi, Perlis bagi, Perak boleh bagi, negeri lain bagi termasuk Selangor, saya fikir Pahang agak peliklah seolah-olah (kerajaan negeri) tak iktiraf sistem demokrasi yang rakyat pilih.
“Dia (Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rsody Wan Ismail) bagilah sikit baru ini tapi dia bagi bukan sebagaimana dihasratkan oleh Tuanku. Cadangan Tuanku supaya peruntukan kepada ADUN pembangkang diberi sama rata sebagaimana ADUN kerajaan.
”Pahang bagi dekat Ramadan RM5,000 dan baru ini RM30,000 untuk projek di kawasan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Tambah Tuan Ibrahim, pihaknya menegaskan peruntukan tersebut bukan bagi kegunaan ahli politik sebaliknya untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.
Malah Timbalan Presiden Pas itu berkata, isu peruntukan kepada ADUN pembangkang tidak dinyatakan dengan jelas semasa pembentangan Belanjawan Pahang 2024 oleh Menteri Besar baru-baru ini.
“Kalau dia (kerajaan Pahang) rasa bertanggungjawab, dia bagi. Kalau dia tak bagi, kita akan jalan seperti biasa. Pahang ada surplus belanjawan sebanyak RM12 juta, sepatutnya tidak ada masalah untuk menyalurkan bantuan lebih besar kepada pembangkang,” ujarnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment