PETALING JAYA: Beberapa pemimpin akar umbi Umno menyuarakan kebimbangan bahawa parti itu akan kehilangan sokongan pengundi Melayu jika terus “mesra” dengan Pakatan Harapan (PH).
Pemimpin-pemimpin tersebut, yang enggan dikenali berkata Umno seharusnya melayan PH seperti cara parti itu melayan Perikatan Nasional (PN) semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.
“Tiada masalah untuk bekerjasama dengan PH dalam kerajaan, di peringkat persekutuan, tetapi kita tidak sepatutnya pergi sehingga menghadiri konvensyen mereka atau bekerjasama dalam pilihan raya,” kata seorang pemimpin Pemuda kepada FMT.
“Kita rasa seperti Umno bukan lagi di bawah Barisan Nasional tetapi di bawah PH.”
Pemimpin itu berkata hubungan tersebut terutama dengan DAP adalah sangat merosakkan memandangkan segala yang pernah Umno katakan tentang parti itu selama berpuluh tahun.
“Jika saya meletakkan diri saya sebagai pengundi Melayu, saya tidak akan mengundi Umno,” katanya, mengulas mengenai nasib parti itu yang merudum sejak kerjasama dengan PH bermula selepas PRU15.
Dalam pilihan raya enam negeri selepas PRU15, Umno hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang dipertandingkan.
Seorang pemimpin bahagian dari Johor berkata walaupun PH memenangi PRK Pulai dan Simpang Jeram di negeri itu, ahli akar umbi Umno tidak berminat untuk membantu calon PH berkempen.
“Sebagai pemimpin bahagian, kita memahami sentimen pengundi lebih daripada kepimpinan tertinggi.
“Tugas kita adalah untuk mendidik pengundi mengapa Umno merupakan pilihan yang lebih baik daripada yang lain tetapi apabila presiden memutuskan Umno akan berkempen untuk PH, ia menjadikan keadaan lebih teruk.
“Selama berpuluh tahun kita memberitahu pengundi bahawa kita adalah suara Melayu, bukan PH, tetapi apabila kita diminta untuk bekerjasama, bagaimana kita mahu menyakinkan pengundi?” katanya.
Katanya, itulah sebabnya sokongan Melayu terhadap PN semakin kuat dalam tempoh singkat.
Pemimpin itu berkata Umno perlu memikirkan pelan jangka panjang untuk mendapatkan sokongan semula, dan cara terbaik untuk melakukan ini adalah menjadi pembangkang.
“Dengan cara kita bergerak sekarang, terutamanya dengan bergandingan tangan dengan DAP, parti ini akan hancur dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Pemimpin lain dari Pahang juga mengatakan kerjasama berterusan dengan PH di luar hal ehwal kerajaan akan menyebabkan Umno kehilangan sokongan.
“PRK Kemaman adalah contoh yang baik di mana undi kita turun berbanding PRU15,” kata pemimpin tersebut.
Dalam PRK Kemaman bulan ini, Ahmad Samsuri Mokhtar dari PN mendapat 64,998 undi berbanding dengan Raja Affandi Raja Noor dari BN, yang hanya menerima 27,778 undi.
Dalam PRU15, calon PN Che Alias Hamid memenangi kerusi itu dengan 65,714 undi manakala Ahmad Said dari BN meraih 38,535 undi.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment