PETALING JAYA: Kekalahan Umno pada PRK Kemaman baru-baru ini berpunca isu pimpinan tertinggi berbanding dalam Umno Terengganu semata-mata, kata penganalisis politik.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata menggantikan Ahmad Said sebagai ketua Umno Terengganu merupakan perubahan luaran sahaja kerana gagal menangani masalah lebih besar di sebalik penurunan prestasi pada pilihan raya sebelum ini.
Katanya, keyakinan pengundi Melayu dalam kepada Umno menyusut susulan keputusan bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan perpaduan.
“Saya rasa ia adalah senario jelas. Pengundi Melayu melihat Umno tidak lagi sesuai melindungi kepentingan Melayu atau Islam berbanding PAS,” katanya kepada FMT.
“Saya kira sekurang-kurangnya Umno melakukan sesuatu dengan menggantikan pimpinan negeri, namun ia tidak menyelesaikan apa-apa kerana masalahnya di peringkat atasan, di peringkat kebangsaan,” katanya.
Penganalisis sosiopolitik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berkata Umno perlu lebih mendalam melakukan bedah siasat bagi kenal pasti punca kemerosotan di Terengganu dan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk parti itu bangkit semula.
“Analisis ini sepatutnya melibatkan siasatan menyeluruh,” katanya.
Awal minggu ini, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan Ahmad digantikan sebagai ketua Umno Terengganu, susulan prestasi teruk parti pada PRU tahun lalu dan PRN Ogos.
Bagaimanapun, Ahmad kemudian mendakwa beliau telah meletak jawatan dan menamakan bekas Adun Telemung, Rozi Mamat sebagai pengganti.
Awang Azman berkata, tanpa bedah siasat menyeluruh, sukar menunding jari atau meletakkan kesalahan kepada mana-mana individu dalam parti.
Asyraf juga mengumumkan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengambil alih ketua Umno negeri daripada Naib Presiden Umno Khaled Nordin.
Mengulas perubahan dalam pimpinan Umno Johor, Azmi dan Awang Azman berkata langkah itu merupakan isu besar memandangkan Onn Hafiz adalah menteri besar.
Azmi berkata, Onn Hafiz sudah membuktikan beliau diterima sebagai menteri besar, baik daripada Umno dan rakyat Johor sendiri.
Awang Azman berkata, langkah itu membolehkan Khaled fokus kepada Umno di peringkat pusat bagi menguruskan isu lebih luas berbanding negeri.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment