SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan sekumpulan kakitangan akademik dan pentadbiran Universiti Malaya (UM) serta lima guru untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar program vaksinasi COVID-19 kerajaan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu selepas tidak bersetuju dengan hujahan pemohon bahawa vaksinasi wajib melanggar hak mereka sekali gus bertentangan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut hakim itu dalam keputusannya, tindakan kerajaan mewajibkan kakitangan awam sebagai anggota barisan hadapan untuk divaksin dan mereka terikat dengan peraturan ditetapkan kerajaan, adalah bukan sesuatu yang tidak sah atau tidak rasional.
Dalam permohonan itu, pemohon menyatakan bahawa sebagai kakitangan awam, mereka harus diberi kebebasan untuk memilih untuk menjalani program tersebut atau sebaliknya.
Shahnaz berkata, pemohon gagal menghujahkan bagaimana tindakan kerajaan itu melanggar hak mereka mengikut Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan.
Ia antara lain menyatakan kebebasan warganegara untuk bergerak bebas dan tinggal di mana-mana bahagian negara tertakluk kepada mana-mana undang-undang berkenaan keselamatan negara, ketenteraman dan kesihatan awam.
Hakim berkata, kerajaan sebagai responden bagaimanapun menyanggah hujahan itu dan menyatakan bahawa vaksinasi bertujuan meredakan penyebaran COVID-19 yang juga adalah pandemik global.
"Oleh itu, mahkamah ini tidak bersetuju dengan hujahan pemohon bahawa keputusan itu menyebabkan pelanggaran terhadap Perkara 9 perlembagaan.
"Atas alasan ini, mahkamah ini berpuas hati bahawa tidak terdapat kesalahan undang-undang atau ketidakrasionalan sehingga mahkamah ini harus menggunakan kuasanya untuk membatalkan keputusan yang dipertikaikan itu.
"Mahkamah ini oleh itu, menolak permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman tanpa perintah berhubung kos dengan menimbangkan bahawa kes ini adalah membabitkan kepentingan awam," katanya.
Dalam prosiding itu kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin.
Kumpulan berkenaan mengemukakan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman pada Oktober 2021 bagi mendapatkan perintah untuk membatalkan arahan kerajaan melaksanakan program berdasarkan surat edaran yang dihantar kepada mereka.
Permohonan itu menamakan pendaftar UM, Jabatan Perkhidmatan Awam dan ketua pengarahnya ketika itu, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Kementerian Kesihatan dan kerajaan sebagai responden.
Lima guru pula menamakan menteri pendidikan dan menteri kesihatan, kementerian Pendidikan, Khairul, dan kerajaan sebagai responden.
No comments
Post a Comment